Saturday, March 14, 2009

SYI'AH - al-Zirariah, al-Yunusiah, al-Syaitaniah

al-Zirariah
Mereka adalah pengikut Zirarah bin A’yun. Dia pernah mengikut fahaman al-Afthahiyah yang berkata, imam itu adalah Abdullah bin Jaafar. Kemudian, dia keluar daripada fahaman ininlalu mengikuti fahaman al-Musawiyah. Seterusnya dia mencipta ajarannya sendiri. Antaranya dia berkata, Allah itu pada mulanya tidak hidup, tidak berkuasa, tidak mendengar, tidak melihat, tidak mengetahui dan tidak berkehendak. Kemudian dia mencipta untuk dirinya sendiri akan sifat-sifat kuasa, berkehendak, ilmu, hidup, mendengar dan melihat.

al-Yunusiah
Mereka adalah pengikut Yunus bin Abdul Rahman al-Qami. Pada mulanya dia menganut fahaman Imamiah Qat’iyah uang memutuskan Imam Jaafar sudah mati. Kemudian dia membawa fahamannya sendiri yang mengatakan Allah itu ditanggung oleh malaikat yang menanggung Arasy, sedangkan Allah itu lebih kuat daripada mereka.

Ini juga termasuk di kalangan ajaran-ajaran yang mengelirukan dan terlalu mengada-adakan perkara palsu kepada Allah.

al-Syaitaniah
Mereka adalah pengikut seorang yang bernama Abu Jaafar bin an-Nukman al-Ahwal al-Rafadhi yang digelar juga dengan nama Syaitani al-Tak. Dia antara orang yang bertanggungjawab membawa fahaman dalam aliran Syiah. Imam adalah orang-orang disebutkan secara tertentu. Mereka berkata, orang yang disebutkan itu adalah Zaid. Dia mengarang sebuah buku berkenaan dengan kepimpinan. Di dalam bukunya, dia menafikan kenyataan Allah dalam surah at-Taubah, ayat 40,

“Salah seorang daripada dua orang ketika keduanya berada di dalam gua.”

Ayat ini menerangkan peristiwa Nabi Muhammad bersama Abu Bakar di dalam gua Thur. Dia bersetuju dengan pendapat Hisyam bin Salim aljawaqi yang berpegang pada ajaran Mujasimah. Dia juga bersependapat dengan Hisyam bin al-Hakam yang menyatakan Allah itu mengetahui dengan sendirinya tetapi mengetahui dalam perkara-perkara yang ditakdirkan olehnya dan dikehendakinya sahaja. Bagi perkara yang belum ditakdirkan, dia tidak mengetahuinya.

Penutup Kumpulan Syiah
Demikian sebahagian daripada beberapa perkara yang lahir dalam fahaman Syiah. Selain itu ada lagi dalamnya beberapa fahaman lain yang mempunyai pengikut-pengikutnya yang disebut secara khusus.

Kuliyah Jumaat 12 Januari 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu


Al-Karrabiah, Al-Kamiliah, Muhammadiah, Hisyamiah

Al-Karrabiah:
Mereka adalah pengikut Abu Karab al-Dharir dan sesetengah ulamak menamakan dengan Ibnu al-Dharir. Golongan ini terlalu melampau memuja Muhammad bin al-Hanafiah sehingga melampaui batas akal dan agama. Selain itu mereka mempunyai pegangan yang sama dengan golongan-golongan sesat yang lain. Mereka juga berpendapat Muhammad bin al-Hanafiah tidak mati sehingga sekarang. Mereka mendakwa dia berada di banjaran gunung Radhwa. Di sebelah kanannya ada singa dan di sebelah kirinya ada harimau yang sentiasa mengawalnya. Dia diberi rezeki yang tidak perlu dicari pada setiap hari. Mereka juga berkata Muhammad bin al-Hanafiah dihukum begitu kerana dia cenderung kepada Abdul Malik bin Marwan yang menjadi khalifah kerajaan Umawiyah pada zamannya.

Al-Kamiliah:
Mereka adalah pengikut Abu Kamil. Dia mendakwa semua sahabat yang meninggalkan majlis ikrar setia kepada Ali hukumnya kafir. Mereka juga berkata Allah itu mampu berkata-kata dengan semua lidah dan bahasa serta mampu berdiri di semua tempat. Mereka juga mendakwa Allah dapat menzahirkan dirinya dengan rupa manusia sama ada dengan seluruh rupa atau sebahagiannya sahaja. Abu Kamil mampu kembali hidup semula sebelum berlakunya hari kiamat. Mereka membenarkan kata-kata iblis yang mendakwa dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam kerana dia diciptakan daripada api. Api lebih mulia daripada tanah kerana api itu bercahaya sedangkan tanah itu tidak bercahaya. Selain itu, api juga pernah disembah. Mereka juga berpegang pada pendapat yang mendakwa jawatan imam adalah cahaya yang berpindah daripada seseorang kepada seseorang yang lain. Kadang-kadang, cahaya itu juga dapat berpindah ke dalam diri nabi. Kadang-kadang, cahaya boleh berpindah ke dalam diri imam biasa dan kadang-kadang juga imam boleh menjadi nabi. Fahaman ini menular pada awal pemerintahan Abbasiah.

Muhammadiah:
Iaitu golongan yang menunggu kelahiran semula Muhammad bin Abdullah bin al-Hasan bin al-Hasan bin Ali bin Abu Talib. Walaupun beliau dibunuh, mereka berkata, “Muhammad bin Abdullah masih hidup. Beliau bersembunyi di bukit Hajar yang terletak di daerah Najd. Pada akhir zaman, dia akan diperintah keluar daripada persembunyian.”

Hisyamiah:
Golongan ini mempunyai dua puak, pengikut Hisyam bin al-Hakam al-Rafazi dan pengikut Hisyam bin Salam bin al-Jawaqi.
# Hisyam al-Hakim al-Rafazi: Pengasas ajaran atau fahaman yang menyatakan Allah itu berjisim. Walaupun tidak sama dengan yang lain, tetapi boleh digambarkan dari segi zatnya walaupun sifat kuasanya tidak terhingga. Dia tinggi dan lebar, lebarnya sama dengan tingginya. Mereka juga berkata Tuhan itu nur yang bercahaya seperti perak yang bersih dan mutiara yang bulat. Dakwaan itu adalah bohong dan tidak ada bukti yang membenarkan dakwaan mereka.
Mereka juga menghadkan sifat-sifat Allah yang maha sempurna itu dengan menyatakan ilmu Allah itu terhad. Mereka berkata, “Adalah mustahil Allah itu mengetahui segala sesuatu secara berpanjangan.” Mereka mendakwa Allah mengetahui suatu dengan didahulukan tetapi tidak mengetahuinya terlebih dahulu. Mereka berkata al-Quran itu tidak khalik (pencipta) dan bukan makhluk (diciptakan). Ia adalah perbuatan Allah seperti juga ilmunya. Mereka membenarkan derhaka kepada para nabi sedangkan imam-imam pula bersifat maksum. Mereka berhujah, nabi itu diwahyukan padanya.
# Hisyam bin Salam bin al-Jawaqi: Mereka lebih melampau lagi dengan membawa pegangan Mujasad dan Musyabihat. Mereka berpegang dengan fahaman yang menyatakan Allah itu berupa manusia yang tidak berdaging dan berdarah. Dia adalah cahaya yang putih yang mempunyai pancaindera yang lima. Mereka mendakwa Allah mempunyai tangan, kaki, hidung, mulut, mata dan telinga. Dia mendengar dengan yang lain daripada apa yang dia melihat dengannya. Seluruh pancainderanya berbeza-beza antara satu sama lain, separuh yang di atasnya berongga dan separuh yang di bawahnya tidak, mempunyai cahaya hitam dan putih, iradahnya. (berkehendak) ialah harakat (gerak). Sifat ini bukannya sifat bagi Allah dan bukan lain daripadanya. Apabila dia menghendaki sesuatu, dia bergerak. Maka berlakulah seperti kehendaknya.

Kuliyah Jumaat 05 Januari 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu


Qaramitah & Duruz

Mereka adalah pengikut kepada Hamdan bin al-As’as yang terkenal dengan Hamdan Qirmit. Qirmit bermakna melangkah pendek apabila berjalan. Ini kerana Hamdan dilihat pada zahirnya sebagai seorang yang bersifat zuhud dan fakir. Dia menetap di kampung daerah Teluk Parsi dengan mendirikan sebuah kawasan dan menamakannya dengan Darul Hijrah kononnya mengikut contoh nabi. Selepas berjaya mendapat pengaruh, dia menyebarkan ajarannya di daerah sekitarnya.

Ajarannya juga berfahaman kebatinan. Antara cara dia mengumpul pengikut dan menegakkan ajarannya adalah dengan mengumpulkan harta yang menjadi milik bersama sehingga masing-masing mempunyai senjata bagi menentang sesiapa yang menghalang.

Masalah makan minum diatasi dengan cara berkongsi. Kemudian, dia membawa pengikutnya supaya bergaul bebas antara lelaki dan perempuan dengan tujuan berjinak-jinak dan berkasih sayang.

Pada tahun 513 Hijrah (12 Januari 930) , mereka menyerang Mekah dengan bala tentera yang dipimpin oleh Abu Tahir al-Janabi. Pada Hari Raya Haji, mereka membunuh jemaah yang datang ke masjid dan orang-orang yang tawaf. Mereka masuk ke dalam Kaabah dengan berkuda, kencing semasa tawaf, mencabut Hajarul Aswad dan mengambil perhiasan Kaabah sambil mencaci secara mengejek.

“Kalaulah rumah ini menjadi Tuhan, nescaya dia menyiram api neraka ke atas kita. Sesungguhnya kami tinggalkan jenazah-jenazah antara telaga zam-zam dan bukit Safa yang tidak mahu kepadanya melainkan Tuhan yang mengaku Tuhan.”

Batu Hajarul Aswad menjadi rampasan mereka selama 20 tahun sehingga tentera Islam dapat mengalahkan mereka dan mengambil semula Hajarul Aswad.

Duruz

Mereka adalah kumpulan yang berasal daripada golongan pelampau Syiah yang pernah menegakkan Kerajaan Fatimiah di Utara Afrika. Pengikut kepada Muhammad bin Ismail al-Duruzi, yang berbangsa Turki. Sebahagian sarjana menyatakan dia berbangsa Parsi. Dia menjadi penyokong kuat kepada raja al-Hakim Biamrillah yang mengaku menjadi Tuhan. Dia dengan beraninya mengisytiharkan raja itu sebagai Tuhan di salah sebuah masjid di bandar Kaherah, Mesir. Kemudian, dia mengajak orang ramai beriman dan beribadah kepadanya tetapi golongan Durzi melaknatnya dan tidak menghormatinya lagi. Golongan Durzi mendakwa mereka adalah pengikut kepada Hamzah bin Ali al-Zuzani al-Farisi yang bergelar al-Hadi yang juga kenalan rapat al-Hakim Biamrillah.

Al-Hakim memeritahnya supaya menerima jawatan pemimpin menyeru kepada fahaman Ismailiah dengan gelaran al-Sannadu al-Hadi dan diperintah supaya menjadikan Lembah Tim sebagai pusat kegiatannya. Apabila al-Hakim Biamrillah menghilangkan diri, golongan Durzi berpendapat dia menghilangkan dirinya bagi membuang kotoran murid-muridnya. Dia akan kembali semula apabila kezaliman di dunia ini sampai ke puncaknya dan dia kembali semula bagi menghitungkan orang-orang bukan Islam.

Terlalu payah mendapat rujukan mengenai dengan ajaran mereka kerana mereka sangat merahsiakannya. Mereka tinggal berasingan daripada orang ramai iaitu di kawasan bukit-bukau dan pergunungan di Lubnan. Walau bagaimanapun, mereka adalah pecahan daripada fahaman Ismailiah bil Batiniah. Antara perkara yang menjadi kepercayaan mereka adalah:
# Mempercayai tanasukh, iaitu roh berpindah daripada orang yang sudah mati kepada jasad orang lain. Alasan mereka adalah walaupun jasadnya mati namun rohnya tetap hidup. Mereka juga berkata, “Iblis lahir dalam tubuh Nabi Adam, kemudian berpindah ke tubuh Nabi Nuh, kemudian ke tubuh Nabi Ibrahim, kemudian ke tubuh Nabi Musa kemudian ke tubuh Nabi Isa, akhirnya ke tubuh Nabi Muhammad.” Mereka berkata pula, “Syaitan itu lahir dalam tubuh Nabi Adam. Kemudian ke dalam tubuh Sam bin Nuh, kemudian ke dalam tubuh Nabi Ismail, kemudian ke dalam tubuh Yushak, kemudian ke dalam tubuh Syam’un al-Shafa, kemudian ke dalam tubuh Ali bin Abi Talib, kemudian ke dalam tubuh Qidah (salah seorang pemimpin golongan Qaramitah).
# Ruh orang yang mati akan kembali semula ke dunia ke dalam tubuh kanak-kanak yang baru dilahirkan.
# Percaya kepada Injil dan al-Quran dengan cara memilih ayat yang boleh ditakwil dan meninggalkan ayat-ayat yang tidak boleh ditakwil. Mereka berkata juga al-Quran itu diwahyukan kepada Sulaiman al-Farisi. Kemudian ia diambil oleh Muhammad dan dia menisbahkannya kepada dirinya. Mereka menamakan al-Quran dalam buku-buku mereka dengan al-Mastur al-Mubin.
#

Mereka cenderung tidak mengerjakan ibadah dan jihad kerana mereka percaya Raja al-Hakim Biamrillah menjelma kepada mereka pada awal tahun 804 Hijrah lalu menggugurkan perintah sembahyang, puasa, zakat, haji, jihad, wilayah dan syahadah.

Kuliyah Jumaat 22 Disember 2006
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu


Al-Ismailiah al-Waqifah

Golongan ini dianggap sebahagian daripada Syiah yang radikal dan terkeluar daripada agama Islam. Mereka percaya, yang menjadi Imam adalah Ismail bin Jaafar as-Sadiq, tetapi Isna Ashariah tidak mengiktiraf fahaman ini dan tidak mengiktiraf Ismail menjadi Imam selepas Imam Jaafar as-Sadiq meninggal dunia. Menurut mereka, Ismail adalah seorang yang melakukan kerja-kerja maksiat yang termasuk dalam dosa besar seperti meminum arak dan sebagainya. Namun, pengikut fahaman Ismailiah berkata, “Tidak mengapa dia mengerjakan dosa besar kerana dia maksum. Apabila dia minum arak, dia minum di bawah ilmu Allah.”

Menurut Imam Abu Hasan al-Asy’ari, daripada fahaman Ismailiah ini juga lahirnya fahaman Qaramitah yang mengikut ajaran batiniah. Kemudian golongan Ismailiah bertelingkah dalam isu kematian Ismail.
Ada di kalangan mereka yang berpendapat, Ismail tidak mati tetapi berpura-pura mati sebagai taqiah (menyelamatkan diri) daripada menjadi mangsa pemerintahan Abbasiah. Ada juga yang berpendapat, Ismail sebenarnya sudah mati maka anak-anaknya pula yang menjadi imam setepasnya. Ada juga berpendapat, yang menjadi imam selepas Ismail adalah anaknya Muhammad bin Ismail. Buku ini akan membincangkan dengan lebih terperinci apabila memasuki fahaman Ghulah yang dianggap terkeluar daripada Islam.

GHULAH AL-SYIAH

Mereka adalah terdiri daripada kumpulan fahaman Syiah yang dihukum keluar daripada Islam walaupun mereka mengaku sebagai pengikut Islam, kerana fahaman yang menjadi pegangan mereka membatalkan akidah. Antara fahaman-fahaman itu adalah:

Al-Saba’iah

Mereka adalah pengikut ajaran yang dibawa oleh Abdullah Inn S,di,r. Dia berasal daripada agama Yahudi kemudiannya mengaku Islam. Dia pernah berkata kepada Ali, “Awak adalah awak” Ia bermaksud, awak adalah Tuhan. Lalu dia dihalau ke Madyan. Selepas Ali meninggal dunia, dia menyebarkan ijarannya. Antara ajarannya, Yushak bin Nun adalah orang s.mg diwasiatkan oleh Musa, Ali juga diwasiatkan oleh Nabi Muhammad. Selepas itu, ajaran itu berkembang daripadanya luhaman-fahaman radikal yang lain. Kemudian, dia mendakwa Ali sebenarnya tidak mati. Beliau datang bersama awan, guruh .idalah suaranya, kilat ialah senyumnya, apabila bumi dipenuhi kezaliman, Ali turun memenuhi dengan keadilan. Kemudian dia membawa fahaman tanasukh al-arwah (selepas roh berpisah daripada jasad seseorang, roh itu berpindah pula ke jasad yang lain). Fahaman itu berasal daripada kepercayaan agama Hindu. Kemudian dia menyatakan, Tuhan menjelma ke dalam diri imam-imam yang dilantik selepas Ali.

Ismailiah

Pada awalnya fahaman ini seperti yang dijelaskan berhubung dengan Ismailiah al-Waqifah, iaitu mereka berpendapat imam mereka adalah Ismail binjaafar as-Sadiq. Oleh itu, mereka berselisih faham dengan golongan yang menyatakan imam selepas Jaafar adalah Musa al-Kazim. Golongan yang berpendirian sederhana mengakui Imam Musa al-Kazim. Mereka menyatakan Ismail menjadi imam yang disimpan dahulu seperti Hasan bin Ali di mana anak-anaknya tidak harus menjadi imam apabila dia meninggal dunia. Tetapi golongan Ismailiah ini berpendapat Ismail juga terus meninggalkan pusaka menjadi imam kepada anak-anaknya seperti juga Husain bin Ali. Ada juga di kalangan mereka yang berpendapat Jaafar melantik Musa sebagai penggantinya kerana untuk memelihara keselamatan Ismail, yang sebenar menjadi imam ialah Ismail bukannya Musa.

Akidah mereka terkeluar daripada Islam kerana diresapi oleh perkara-perkara yang membatalkan akidah seperti membezakan syariat Allah dan menafikan tempat-tempatnya. Mereka berpecah kepada beberapa fahaman:

Al-Batiniah

Golongan ini digelarkan dengan nama al-Batiniah kerana mereka berkata, “Syariat Allah itu ada lahir dan batinnya, begitu juga dengan ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi Muhammad”, mereka menghurai ayat-ayat Allah dan hadis Nabi Muhammad dengan cara yang menyeleweng daripada maknanya yang sebenar berpandukan Nabi Muhammad, para sahabat, tabi’in dan sarjana Islam yang diiktiraf. Mereka mendakwa imam itu ada yang tersembunyi.

Antara akidah mereka seperti yang dinyatakan dalam buku mereka adalah, Allah menjadikan dirinya kemudian kedua-duanya mentadbir alam ini. Mereka juga menafikan mukjizat. Menafikan turunnya malaikat membawa wahyu dari langit. Mereka menuduh nabi-nabi adalah orang-orang yang mahu jawatan menjadi ketua semata-mata. Mereka berpendapat hukum-hukum syariat itu boleh ditakwil. Sembahyang ditakwil dengan dengan taat kepada imam. Haji itu menziarahi imam. Puasa itu menahan rahsia imam bukannya tidak makan. Berzina itu adalah mendedahkan rahsia imam mereka juga berkata,

“Sesiapa yang tahu makna hakikat ibadah, gugur fardu ibadah daripadanya dengan mentakwilkan kata-kata Allah surah aJ-Hijr, ayat 99,

“Sembahlah Tuhanmu sehingga kamu yakin.”

Mereka juga menimbulkan syak kepada al-Quran, Taurat, Zabur dan Injil, membatalkan hukum syariat, tidak percaya kepada hidup semula selepas mati dan menolak adanya malaikat dan jin. Antara masalah-masalah dalam al-Quran yang dijadikan bahan perbincangan mereka adalah,

“Huruf-huruf yang menjadi permulaan surah-surah al-Quran dengan takwil-takwil yang direka.”

Antara cara yang dilakukan bagi mempengaruhi orang ramai adalah dengan menagih simpati dan menyokong Ahli Bait yang menjadi sasaran tekanan pada zaman Umawiyah dan Abbasiah.
Gerakan ini bertolak daripada gerakan Abdullah bin Saba’ yang bergabung dengan golongan Ismailiah. Antara tokoh mereka adalah al-Mughirah bin Said al-A ‘jali yang selalu datang berjumpa Imam Muhammad Baqir. Kemudian dia memutarbelitkan ajaran yang sebenar, antaranya mentafsirkan kenyataan Allah surah an-Nahl, ayat 90,

“Sesungguhnya Allah menyeru kepada keadilan, berbuat baik dan memberi hak kepada kaum keluarga dan melarang daripada kejahatan dan mungkar.”

Dia berkata “Adil dan ihsan itu adalah Fatimah dan Ali, kaum kerabat adalah Hasan dan Husain, kejahatan itu adalah Abu Bakar dan mungkar itu Umar.”

Apabila Imam Muhammad al-Baqir mengetahui penyelewengan al-Mughirah, beliau menolak dengan sekeras-kerasnya dan menjauhkan diri daripadanya.

Pada akhirnya al-Mughirah bertindak lebih melampau lagi sehingga mengatakan Ali boleh menghidupkan orang mati dan mengetahui perkara yang ghaib. Kemudian dia melantik dirinya menjadi imam sehingga mengaku menjadi Tuhan.

Kemudian lahir pula muridnya yang bernama Abu Mansur al-A’jali yang berkata, “Nabi itu tidak berakhir dengan Nabi Muhammad. Pintu-pintunya terbuka kepada golongan Ismailiah.”

Abu Mansur sendiri mengaku dirinya menjadi nabi. Ajaran ini dihidupkan pada zaman sekarang oleh golongan Baha’i.

Antara tokohnya juga adalah Maimun bin Dishan yang berasal daripada pengikut agama Yahudi. Kemudian dia menganut Islam dan menganut ajaran Batiniah. Dia membawa fahaman yang menyatakan imam itu mempunyai sifat maksum yang tidak terhingga kerana pelantikannya daripada Allah. Dia wajib bersifat memelihara syariat sejak azali dan berada dalam ilmu Allah yang qadim, bersama nur yang awal, berpindah daripada nabi kepada imam. Bagi memelihara rahsia fahamannya, dia membahagikannya kepada tujuh martabat. Seseorang itu tidak naik ke martabat yang lebih tinggi melainkan selepas berjaya diuji.

Kuliyah Jumaat 15 Disember 2006
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

No comments:

Post a Comment