Monday, March 9, 2009

Panduan Usrah Sekolah

Pengenalan

Sekali lagi sesi persekolahan bermula. Sekolah-sekolah yang lazimnya subur sebagai ladang ternak tuai generasi baru pendukung nusa bangsa hidup dengan kehadiran peladang-peladang samada, Peladang Tanpa Izin atau Peladang Berdaftar. Lubuk-lubuk emas menjadi tumpuan. Satu atau dua terlepas ke tangan peladang yang menabur benih tumbuhan lain. Kadang-kadang menjadi kemuncup dan kadang-kadang menjadi beringin tempat tumpang memanjat untuk mendapatkan nur Ilahi.

Maka berduyun-duyun juga soalan datang menanyakan itu dan ini, ada yang relevan dan ada yang memelikkan. Apapun, penulis menghasilkan kertas kerja ringkas ini buat panduan mereka yang baru berhasrat menabur benih di bumi baru, atau menabur benih tetapi hasilnya lemah dan layu;



Cara Masuk


Adapun cara masuk ke sekolah itu ada dua jalan, yang pertama dipanggil jalan depan, dan yang kedua jalan belakang,



1. Jalan Depan

Jalan depan ini didapati dengan cara berurusan dengan pihak sekolah secara formal, samada dengan kertas kerja, menggunakan platform rasmi atau stand ‘follow-up’ kepada program-program yang pernah dianjurkan di sekolah tersebut seperti Kem Remaja Islam dan sebagainya.


2. Jalan Belakang

Jalan belakang lebih mudah dilaksanakan tetapi lebih berisiko, dan tidak terlalu berprotokol. Ia didapati dengan cara berhubung dengan ustaz atau ustazah yang dikenali dan seladang dengan anda di mana-mana sekolah, dan pertemuan dengan anak buah diatur oleh orang tengah tersebut. Satu lagi cara ialah dengan melepak di surau-surau sekolah pada waktu solat, dan mengatur pertemuan dengan anak buah yang berhamburan di segenap ruang surau. Adapun cara ini lebih cenderung digunakan oleh peladang dari ladang yang tidak mempunyai personal influence atau networking yang baik. Ia juga hanya boleh digunakan di sekolah-sekolah yang agak terbuka.



Marhalah Anak Usrah


Marhalah anak usrah di sekolah terbahagi kepada lima, yang mana ia afdhal diikuti mengikut urutan, dan bergerak menaiki marhalah seterusnya mengikut kesesuaian masa dan potensi anak usrah:


1. Marhalah Makan

Mulakan mendekati anak buah anda dengan membawa sedikit buah tangan berupa makanan seperti sanggar, keropok lekor dan makanan ringan. Ia khususnya berkesan dalam mendekati anak buah dari sekolah berasrama. Lebih daripada itu, ia menepati hadis Nabi yang menggalakkan bertukar-tukar hadiah sebagai cara mengikat kasih-sayang.


2. Marhalah Bahan

Apabila anak buah mula seronok dengan kehadiran anda, mulakan memberi mereka bahan-bahan yang menarik. Bahan-bahan boleh jadi risalah yang dihasilkan oleh kampus atau bahan-bahan lain yang dihasilkan sendiri. Biarkan bahan simple dan menarik, tidak perlu panjang dan sentuh isu-isu yang melibatkan mereka seperti isu cinta, pengurusan masa dan sebagainya.


3. Marhalah Kawan

Lama-kelamaan anak buah akan mula mempercayai naqib dan berkongsi kehidupan dan masalahnya dengan naqib. Ketika ini, naqib dan anak buah terikat sebagai kawan. Di marhalah ini, banyakkan bergerak ke arah dakwah fardhiyyah ke atas anak buah yang tampak berpotensi untuk dikembangkan.


4. Marhalah Kefahaman

Di peringkat ini, anak buah akan menghadiri usrah atas dasar kefahaman akan perlunya mereka membekalkan diri dengan kefahaman asas Islam, dan kehendak kepada peningkatan diri dan amal.


5. Marhalah Perkaderan

Marhalah ini adalah tahap tertinggi, di mana anak buah melepasi semua marhalah dan masak untuk terjun ke lapangan dakwah yang sebenar, membentuk kumpulan dakwah bersama naqib untuk mengembangkan Islam ke lain-lain ladang.


Kaedah Pembawaan


Kaedah perjalanan usrah di sekolah sangat fleksibel, tetapi memerlukan kreativiti dan persediaan yang baik daripada naqib. Pelajar sekolah lazimnya meminati penerangan dalam bentuk aktiviti atau bergerak. Misalnya, jika anda menggunakan buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, gunakan modul Kambing, Tali dan Pokok untuk menerangkan bab aqidah, dengan meminta anak buah menyediakan kertas dan pen, melukis gambar berkenaan sebelum meminta penerangan. Atau untuk menerangkan bab kewajipan berkeluarga mengikut Islam dan menjaga keluarga daripada azab, lakukan aktiviti di luar, minta anak buah melukis gambar orang-orang yang paling disayangi, kemudian bakar lukisan mereka satu demi satu. Ini tentu meninggalkan impak yang mendalam ke atas mereka dan penerangan tentang perlunya menghiasi keluarga dengan Islam akan lebih mudah dihadam. Paling penting, jadikan kupasan anda tentang apa-apa tajuk berbentuk semasa dan santai, dan jangan sesekali mengadakan usrah dalam bentuk talaqqi kitab.


Peringatan Penting


1. Ikatan yang paling ampuh mengikat anak buah dengan naqib ialah kasih-sayang. Sentiasa dekati mereka dengan sentuhan, ikat mereka dengan senyum dan salam, berhubung dengan mereka pada waktu cuti. Seperti yang biasa kita dengar, The golden rule is, “People do not care how much you know until they know how much you care,”. Kita menuju untuk mengikat mereka dengan aqidah, tetapi ia tentu mengambil masa.

2. Lazimi menggunakan pendapat yang berat untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh anak usrah. Misalnya, gunakan pendapat merokok adalah haram apabila ditanya hukum merokok, dan pakai pendapat bercinta adalah haram. Dekati anak buah secara individu untuk memberikan penjelasan terhadap pendapat yang lebih ringan.



Penutup


Panduan yang dikemukakan adalah berdasarkan waqi’ di Sabah. Walaubagaimanapun, ia tentunya tidak boleh dipakai seratus peratus tanpa diubah suai. Kertas kerja yang paling baik untuk para nuqaba’ ialah pengalaman, jadi jangan teragak-agak untuk mula mencuba. Tunjukkan teladan yang baik di mana sahaja, samada di depan anak buah atau tidak, ia pasti akan memberi kesan pada penyampaian. Hiasi peribadi dengan akhlaq mulia, dan perteguhkan kata-kata dan nasihat yang dilontarkan dengan qiamullail. Bagi yang berminat untuk mencuba bakat dalam sektor perladangan ini, bolehlah berhubung dengan penulis.


Selamat Berusrah!

No comments:

Post a Comment