Al-Safariah
Mereka ialah pengikut Ziada bin al-Safar. Sebahagian ulamak menamakannya dengan Ziada bin al-Assar. Sebahagian ulamak berkata, perkataan al-Safariah berasal daripada al-Ashfar yang bermakna kuning kerana mereka kuat beribadah sehingga pucat kuning.
Kumpulan ini lahir pada zaman pemerintahan Yazid bin Muawiyah. Mereka agak tidak keras seperti kumpulan Azariqah. Mereka tidak sependapat dengan kumpulan-kumpulan Ibadhiah, Najadat dan Azariqah dalam beberapa perkara, antara ajarannya:
# Tidak mengkafirkan orang-orang yang tidak berjihad dengannya seperti yang dilakukan oleh kumpulan Azariqah.
# Tidak menggugurkan hukum rejam.
# Membuat hukum dosa besar yang tidak disebut hukuman had seperti sembahyang. Walaupun sesiapa yang meninggalkannya menjadi kafir.
# Menuruk al-Dhahak, golongan al-Safariah ini mengharuskan muslimat berkahwin dengan orang kafir di negeri taqiah (orang Islam ditindas dan diharuskan berhelah untuk menyalamatkan diri)
# Syirik itu dua, iaitu syirik taat kepada syaitan dan syirik menyembah berhala.
Fahaman ini akhirnya berkembang di utara Afrika di kalangan kabilah Barbar. Mereka menjadikan Qoirawan sebagai pusat gerakan. Kemudian, mereka mempengaruhi ketua-ketua kabilah. Pada tahun 297 Hijrah, mereka diserang oleh golongan Syiah dan pengaruh mereka pun hilang.
Kuliyah Jumaat 16 Februari 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Al-Ibadhiah
Mereka adalah pengikut Abdullah bin Ibadh al-Tamimi. Fahaman ini mempunyai pengikut paling ramai di kalangan Khawarij. Hingga kini, pengikutnya masih wujud di neger-negeri Masqat, Oman, Zanzibar dan beberapa daerah di utara Afrika. Mereka juga dianggap golongan Khawarij yang paling sederhana dan tidak keras seperti golongan-golongan Khawarij yang lain.
Kuliyah Jumaat 02 Februari 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Al-Muhakimatul Ula
Ia adalah nama terawal yang diberi kepada golongan Khawarij. Nama ini bersempena dengan sikap mereka yang menentang Majlis Tahkim dan mereka berkata, “Tiada hukum yang sebenar melainkan Allah.”
Kuliyah Jumaat 26 Januari 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Sejarah Mazhab Khawarij
Selepas Uthman bin Affan, khalifah yang ketiga meninggal dunia (syahid), para sahabat dan sebahagian besar umat Islam melafazkan ikrar setia melantik Ali bin Abi Talib menjadi khalifah yang keempat. Walau bagaimanapun, kematian Uthman meninggalkan api fitnah di kalangan umat Islam sehingga membawa kepada peperangan sesama sendiri. Ada dua kumpulan yang berperang ketika itu iaitu kumpulan yang taat kepada khalifag Ali dan mereka yang menentang beliau. Golongan yang menentang berpunca daripada rasa tidak berpuas hati dengan tindakan Ali ke atas orang yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan Uthman bin Affan. Perang Siffin berlaku antara mereka yang taat kepada khalifah dan mereka yang menentangnya.
Apabila tentera pimpinan Ali hampir mencapai kemenangan, Muawiyah menerima nasihat Amru bin al-Ash supaya melakukan helah dengan mengangkat al-Quran dan mengajak supaya berdamai dengannya. Cara ini membawa kepada pertelingkahan sesama sahabat. Ali menyedari penipuan ini namun beliau terpaksa mengikut mereka yang terpengaruh dengan helah itu. Mereka menerima Tahkim dengan Ali mewakilkan Abu Musa al-Asy’ ari manakala Muawiyah mewakilkan Amru bin al-Ash.
Dalam pengadilan itu, Abu Musa al-Asy’ ari tertipu dengan helah yang digunakan oleh Amru al-Ash. Pengikut Ali tidak berpuas hati dengan pengadilan itu berkata: “Tiada hukum yang sebenar melainkan Allah.” Ali menjawab, “Perkataan itu benar tetapi diucapkan di tempat yang salah.” Mereka mengambil keputusan menentang dan keluar daripada keputusan perlantikan khalifah yang sah. Mereka menuju ke Harura’.
Ali datang memujuk mereka secara damai. Beliau mengemukakan soal jawab secara baik kepada mereka. Ali bertanya kepada mereka sambil menongkatkan busur panah, “Adakah kamu tahu, aku benci pada jawatan?” Mereka menjawab, “Ya.” Ali bertanya lagi, “Tidakkah kamu sedar, kamu juga memaksa aku supaya menerimanya?” Mereka menjawab, “Ya.” Ali bertanya lagi, “Kalau begitu, mengapa kamu menentangku?” Mereka terus rasa bersalah dan berkata, “Sesungguhnya kami melakukan dosa yang besar. Sekarang kami bertaubat kepada Allah.” Mereka pun pulang ke Kufah bersama Ali.
Tidak lama kemudian, mereka berubah fikiran lalu menentang semula. Ali terus menghantar Abdullah bin al-Abbas supaya berdamai dengan mereka bagi menghilangkan fitnah dan bencana. Namun, mereka mengambil keputusan menentang khalifah dan bersumpah setia melantik ketua yang dipilih oleh mereka sendiri iaitu Haraura’. Kerana itu, kumpulan ini dinamakan al-Harauriah. Oleh kerana mereka keluar menentang khalifah, mereka dinamakan Khawarij. Mereka juga menamakan diri mereka dengan nama al-Syurah bermaksud orang yang menjual nyawa kerana mahukan keredhaan Allah sedangkan mereka termasuk dalam pengikut ajaran sesat.
Golongan Khawarij bersepakat mendakwa Ali terkeluar daripada Islam berdasarkan peristiwa Tahkim dan mendakwa orang Islam yang mengerjakan dosa besar juga terkeluar daripada Islam. Mereka juga menghukum orang yang mengerjakan dosa besar akan diseksa dalam neraka selama-lama kecuali golongan al-Najdad iaitu salah satu daripada pecahan Khawarij. Mereka juga mempunyai pegangan-pegangan yang berbeza mengenai akidah serta bersikap menentang keras kepada khalifah Islam yang tidak disenangi mereka walaupun khalifah itu daripada kalangan para sahabat. Apabila golongan Syiah melampau memuja Ali, golongan Khawarij pula melampau menentang Ali serta para sahabat yang tidak sependapat dengan mereka.
Pada asalnya, mereka menentang dalam urusan pemerintahan Islam sahaja. Namun, tindakan mereka melarat kepada perkara-perkara akidah yang menyeleweng daripada landasan al-Quran dan sunnah.
Mereka adalah golongan yang bersifat kasar dan keras. Ini kerana kebanyakan mereka daripada kalangan orang Badwi (desa) yang berperangai begitu. Ditambah pula dengan kejahilan agama dan lemah dalam memahami al-Quran dan sunnah walaupun mereka berpegang kuat pada agama dan sayang padanya.
Pegangan mereka berbeza dengan Ahli Sunnah wal Jamaah. Antara pegangan mereka adalah:
# Dalam pemerintahan, mereka mengaku Abu Bakar dan Umar sebagai khalifah yang sah. Uthman pada awalnya sah tetapi mereka mendakwa, Uthman berubah pada akhir pemerintahannya. Apabila Uthman berubah, jawatan khalifahnya juga tidak sah. Ali pula berada dalam keadaan baik sebelum peperangan SifFin. Selepas itu, Ali didakwa melakukan kesilapan dalam semasa Tahkim sehingga kesalahan itu dihukum terkeluar daripada Islam.
# Mereka mengecam orang-orang yang terlibat dalam Perang Jamal. Mereka adalah Thalhah, Zubair dan Aisyah. Mereka juga mengkafirkan Abu Musa al-Asy’ ari dan Amru bin al-Ash. Kesemua para sahabat itu dikecam habis-habisan. Muawiyah menurut pegangan mereka, merampas jawatan khalifah dengan menggunakan kekerasan maka dia kafir yang wajib diperangi.
# Jawatan khalifah mesti dipilih secara bebas di kalangan rakyat sama ada ia Ahli al-Bait seperti pegangan Syiah atau Quraisy seperti pegangan Ahli Sunnah. Apabila khalifah itu zalim, dia wajib dipecat atau diperangi. Sebahagian mereka menyatakan, tidak perlu ada imam. Apabila dirasakan mustahak, hukum melantiknya adalah harus sahaja.
# Terlalu mudah mendakwa kafir kepada orang yang melakukan dosa. Bukan sahaja yang melakukan dosa besar, malah ada yang berpendapat dosa kecil juga dihukum terkeluar Islam.
# Berpegang pada zahir ayat-ayat al-Quran dan hadis secara mudah tanpa mengkaji secara mendalam menurut kaedah-kaedah asal yang memberi makna yang lebih tepat dan kena bagi tujuan teks.
Mereka cuba mempengaruhi Abdullah bin Zubair yang menentang pemerintahan Muawiyah. Mereka meminta dengan keras supaya Abdullah mendakwa dan mengecam sahabat-sahabat termasuk ayahnya keluar daripada Islam. Dengan bijak, Abdullah menjawab, “Sesungguhnya Allah yang maha perkasa dan berkuasa menunjukkan kata-katanya kepada orang yang paling kafir dengan cara yang lebih lembut daripada ini. Allah berkata kepada Musa dan Harun surah Taha, ayat 43 hingga 44,
“Pergilah kamu berdua berjumpa Firaun sesungguhnya dia melampau batas, katakanlah kepadanya dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia menerima peringatan dan berasa takut.”
Nabi Muhammad juga berkata,
“Jangan kamu menyakitkan orang yang hidup dengan memaki orang yang sudah mati.”
Lalu beliau melarang sahabatnya memaki Abu Jahal di hadapan anaknya Ikrimah. Abu Jahal adalah musuh Allah dan rasulnya sebelum hijrah dan memeranginya selepas hijrah. “Cukuplah syirik menjadi dosa yang paling besar. Adalah tidak kena pada tempatnya kamu berkata demikian kepada ayahku dan sahabat-sahabat yang lain.”
Seterusnya Abdullah bin Zubir mempertahankan Uthman, Ali dan ibu saudaranya, Aisyah sehingga golongan Khawarij meninggalkannya.
Golongan Khawarij menentang khalifah secara kekerasan. Antara tindakan kejam yang mereka lakukan adalah membunuh Ali bin Abu Talib. Ali dibunuh oleh seorang pengikut Khawarij yang bernama Abdul Rahman bin Muljim.
Seterusnya mereka berpecah kepada lapan golongan yang besar dan berpecah pula daripadanya beberapa kumpulan kecil yang mempunyai pegangan yang berbeza antara satu sama lain.
Kuliyah Jumaat 19 Januari 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Saturday, March 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment