Saturday, March 14, 2009

AL-MUSYABIHAH

Sejarah Mazhab Musyabbihah I

Pada zaman Salaf, golongan ini memutuskan tidak merubah makna asli ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mutasyabihat kepada makna lain (takwil). Setelah beberapa lama, timbul fahaman-fahaman salah yang menafsirkan ayat-ayat mutasyabihat ini sewenang-wenangnya. Lantas, muncul golongan Khalaf yang dipelopori oleh Abu Hassan al-Asy’ari dan Muhammad bin Muhammad al-Maturid memperbetulkan salah faham ini dengan mentakwil berdasarkan logik akal dan bahasa tanpa menyimpang daripada pemahaman al-Quran dan Sunnah.

Pada fasa salah faham ini, terdapat golongan yang menyerupakan atau menyamakan Allah dengan makhluk berdasarkan zahir ayat-ayat al-Quran dan hadis yang mutasyabihat. Kemudian mereka terus meletakkan makna itu sama seperti yang ada pada makhluk. Mereka bertindak berani dengan menyatakan, “Tuhan yang disembah itu mempunyai rupa yang ada sebahagian anggota tubuh sama ada rohani atau jasmani. Seseorang hamba yang kuat beribadah dan mujahadah dipercayai dapat berjabat tangan dengan Tuhan. Dia dapat bersentuh dengan Tuhan, boleh melihatnya di dunia malah boleh menziarahinya.”

Salah seorang pengikut fahaman ini, Daud al-Hawarizmi berkata, “Tuhan yang disembah itu berjisim, mempunyai darah dan daging, mempunyai anggota tangan, kaki, kepala, lidah dan dua mata.”

Mereka menguatkan hujah-hujah dan bukti-bukti mereka kepada hadis-hadis palsu yang sengaja direka dan mengaitkan nama Nabi Muhammad. Hakikatnya, kebanyakan hadis-hadis itu diambil daripada orang-orang Yahudi yang menganut ajaran yang sama.

Golongan mutasyabihat terbahagi kepada dua jenis:

Pertama: Mereka yang menyamakan zat Allah dengan zat makhluk. Antara golongan yang menganut fahaman ini adalah al-Saba’iah, al-Bayaniah, al-Hululiah, Hilmaniah dan al-Azafirah.

Kedua: Mereka yang menyerupakan sifat-sifat Allah dengan sifat-seifat makhluk. Ada yang menyamakan kehendak Allah dengan kehendak makhluk. Mereka adalah golongan Muktazilah Basrah dan al-Karramiah. Ada juga yang menyamakan percakapan Allah dengan percakapan makhluknya begitu juga dakwaan Allah mempunyai suara, berhuruf dan bersifat baharu. Sebahagian lain menyamakan pengetahuan Allah itu dengan pengetahuan makhluk. Mereka mewajibkan sifat mengetahui tetapi cara Allah mengetahui itu menurut kepercayaan mereka baharu seperti ilmu makhluk.

Aliran-aliran yang terdapat dapalam ajaran al-Musyabihat:

al-Saba’iah:
Mereka adalah pengikut Abdullah bin Saba’ yang dibincangkan dalam mazhab Syiah yang melampau tetapi mengikut fahaman Musyabihat.

al-Mughiriah:
Mereka adalah pengikut Mughirah bin Suwaid al-Ajali, seorang ahli sihir bermazhab Syiah. Dia mendakwa malaikat Jibril dan Mikail pernah melafazkan sumpah setia kepadanya di sisi Kaabah iaitu antara Kaabah dan makam Ibrahim. Dia mendakwa Allah menghidupkan 17 lelaki yang diberikan huruf daripada Asma’ Allah al-A’zam (Nama-nama Allah yang Agung). Oleh itu mereka dapat mengalahkan musuh dan memiliki bumi.

Apabila ajarannya sampai ke pengetahuan Khalid bin Abdullah al-Kasri, beliau memerintahkan supaya menangkap dan menghukum bunuh Mughirah dan pengikut-pengikutnya.

Selepas mughirah meninggal dunia, pengikut-pengikutnya yang masih hidup bertelagah sesama sendiri. Ada yang menyatakan Mughirah masih hidup dan menunggu kelahiran semula. Ada pula yang menyatakan, “Kita tunggu sahaja kelahiran Imam Muhammad al-Nafsi al-Zakiah.”

Kuliyah Jumaat 06 Julai 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu



Sejarah Mazhab Musyabbihah II

al-Mansuriah:
Mereka adalah pengikut Abu Mansur al-Ajali yang mengaku menjadi imam dan mengajak orang ramai mengikut ajarannya.
Akhirnya Abu Mansur ditangkap dan dibunuh oleh Yusuf bin Umar as-Saqafi, Gabenor Iraq pada zaman pemerintahan Hisyam bin Abdul Malik. Selepas dia meninggal dunia, pengikutnya yang masih hidup berpecah kepada dua mazhab:

Al-Husainiah:
Pengikut al-Husain bin Abu Mansur

Al Muhammadiah:
Yang mendakwa menjadi pengikut Muhammad bin Abdullah (al-Nafsi al-Zakiah).

Al-Khattabiah:
Pengikut Abu al-Khattab Muhammad bin Abu Zainab al-Asadi al-Ajda’. Akibat daripada ajarannya sesat dan menyesatkan itu, Imam Jaafar al-Sodiq menjauhkan diri daripadanya walaupun Abu al-Khatab mengaku sebagai pengikutnya.Saad al-Qummi berkata dalam kitabnya al-Maqalat wal-Firaq, golongan Khattabiah ini berpecah kepada empat pendapat:

* Pendapat pertama; mereka berkata Jaafar as-Sodiq itu tuhan dan Abu al-Khatab itu rasulnya.
* Pendapat kedua; mereka yang berkata al-Sirri al-Aqsam diutuskan oleh Jaafar as-Sodiq lalu mereka bersembahyang, berpuasa dan menunaikan haji kerana Jaafar.
* Pendapat ketiga; mereka yang berkata Jaafar itu Allah dalam bentuk cahaya. Dia masuk ke dalam tubuh orang yang diwasiatkan menjadi peggantinya. Orang yang dimasuki cahaya itu adalah Jaafar. Kemudian cahaya itu keluar dan masuk pula ke dalam Abu al-Khatab. Jaafar ketika itu bertukar menjadi malaikat.
* Pendapat keempat; mereka yang menyamakan Bazigh seperti Abu al-Khatab. Dia juga diutuskan menjadi rasul dan berkongsi dengan Abu al-Khatab dalam pangkat nabi dan rasul.

Apabila ajaran Abu al-Khatab berleluasa, Gabenor Kufah menggerakkan bala tenteranya pada tahun 38 Hijrah bagi menghapuskan Abu al-Khatab dan pengikut-pengikutnya. Abu al-Khatab dan pengikut-pengikutnya menentang bala tentera Gabenor Kufah dengan menggunakan pisau, seligi dan batu-batu. Akhirnya Abu al-Khatab berjaya ditahan dan dibawa ke Kufah. Dia dijatuhkan hukuman bunuh bersama beberapa pengikutnya. Mayat-mayat mereka disula dan dipertontonkan kepada orang ramai.

Al-Muamariah:
Pengikut seorang yang bernama Muamar, mereka menyembahnya seperti menyembah Abu al-Khatab.

Al-Bazighiah:
Pengikut Bazigh bin Musa. Dia mendakwa Imam Jaafar as-Sodiq itu Tuhan yang menjelma dengan rupa makhluk.

Al-Ujailiah:
Pengikut Umair bin Banan al-Ujaili. Pengikutnya mendakwa Umair adalah pengganti Abu al-Khatab. Walau bagaimanapun, mereka menerima kematian berbeza dengan al-Muamariah yang mendakwa mereka berpindah ke alam malakut. Akhirnya ketua mereka dijatuhkan hukuman bunuh oleh pemerintah Islam pada zamannya.

Al-Kayyaaliyyah:
Pengikut Ahmad bin al-Kayal. Dia dianggap sebagai salah seorang Imam yang tersembunyi. Peringkat awal dia mengaku menjadi imam sehingga pada suatu hari dia mendakwa mampu “berdiri dengan sendirinya” (menjadi Tuhan).

Al-Nusairiah:
Pengikut Muhammad bin Nasir yang mendakwa sebagai pengikut Imam Husain al-Askari. Dia adalah imam yang ke sembilan daripada mazhab Syiah Imamiah. Dalam ajarannya sering membincangkan perkara Syiah. Mereka adalah golongan pelampau Syiah.

Kuliyah Jumaat 13 Julai 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

No comments:

Post a Comment