Sejarah Mazhab al-Babiah
Ajaran sesat yang dibawa oleh seorang yang bernama Mirza Ali Muhammad al-Syirazi yang menggelarkan dirinya al-Bab yang bererti pintu. Ini kerana dia berkata, “Sesungguhnya yang ingin sampai kepada Allah mestilah melalui jalan rasul, nabi dan wali. Oleh kerana untuk mencapainya sangat susah, mestilah melalui pintunya maka sayalah pintunya.” Perkataan pintunya dalam bahasa Arab ialah al-Bab. Kemudian, dia menukarkan namanya kepada al-Bab. Daripada perkataan ini, ajarannya dinamakan al-Babiah.
Mirza Ali Muhammad lahir pada tahun 1252 Hijrah bersamaan tahun 1820 Masihi. Dia mempelajari ajaran al-Batiniah daripada Syed Kazim al-Rasyti. Gurunya adalah murid kepada pemimpin kebatinan bernama Ahmad al-Ahsaei.
Ajaran ini mendapat sokongan daripada Yahudi di Syiraz, Iran. Bagi membuktikan keislamannya, dia menunaikan haji di Mekah pada tahun 1260 Hijrah serta mengunjungi makam Nabi Muhammad di Madinah. Apabila pulang ke Iran, Mirza secara tiba-tiba menyebarkan ajarannya sehingga para sarjana Islam di Iran menjadi gempar. Mereka mendesak pemerintah pada masa itu supaya menghapuskan gerakannya kerana ia membawa kepada kufur secara terang-terangan. Bagi menghadapi tentangan para sarjana Islam, dia mengisytiharkan dirinya keluar daripada agama Islam dan memutuskan hubungan dengan al-Quran, hadis-hadis Nabi Muhammad dan kitab-kitab agama Islam. Tidak lama kemudian, dia mengaku menjadi Imam Mahdi sehingga mendakwa dirinya lebih baik daripada Nabi Muhammad dan ajarannya lebih baik daripada ajaran Islam. Keadaan bertambah kritikal apabila dia mendakwa Allah menjelma di dalam dirinya, dai yang menzahirkan makhluknya dan menzahirkan Nabi Musa dan Nabi Isa ke alam dunia. Para sarjana Islam di Iran menghukumnya terkeluar daripada agama Islam dan ada juga yang menyatakan dia gila.
Golongan yang mengikut ajaran sesat ini mengarang beberapa kitab yang terkandung di dalam ajaran al-Babiah. Kitab yang terpenting dinamakan al-Bayan yang ditulis dalam bahasa Arab. Di dalamnya terkandung pengenalan kepada ajaran al-Babiah. Pengikut al-Babiah menganggap kitab ini sebagai buku suci. Kemudian mereka mengarang kitab al-Itqan yang menyempurnakan kitab al-Bayan.
Antara ajarannya adalah:
# Tidak beriman kepada hari akhirat. Mereka memberi maksud hari akhirat dengan alam rohani sahaja.
# Semua penganut agama adalah sama sahaja.
# Al-Quran tidak sesuai dipraktikkan pada zaman ini.
# Sembahyang sekali sahaja sebulan dan tidak memerlukan wuduk.
# Tidak wajib mengadap kiblat kerana bagi mereka, di mana sahaja mereka mengadapa, di sana wajah Allah berada.
# Menafikan hukuman qisas (bunuh balas), hudud (hukuman bagi zina, tuduhan zina, mencuri, minum arak dan sebagainya) dan takzir secara sebatan (selain hukuman hudud dan qisas yang ditetapkan oleh nas al-Quran dan hadis).
# Menyamakan kadar penerimaan perempuan dengan lelaki dalam harta pusaka.
Para sarjana Islam di Iran pada masa itu menggesa pihak pemerintah supaya memanggil para pengikut al-Babiah supaya disoal siasat. Mereka juga mengajak berdebat bagi membuktikan kebenaran sekaligus menolak hujah-hujah mereka. Apabila isu semakin hangat, Mirza Ali menafikan membawa ajaran iru dan bersembunti di rumahnya sehingga isu itu reda. Pada 10 Rabiulawal 1261 Hijrah, dia kembali menyebarkan ajarannya. Umat Islam ketika itu menentangnya dengan keras sehingga mendesak Shah Yahya al-Darabi, pemerintah Syiraz supaya menahannya. Namun, Mirza Ali berjaya melepaskan diri dari penjara dan menuju ke Esfahan. Di sana, dia menjadi tetapi kehormat kepada pegawai daerah dan mengajar di sana. Akhirnya kesesatannya terdedah apabila majlis sarjana Islam yang dihadiri oleh 70 para sarjana memutuskan dia kafir. Mereka juga menyarankan kepada pemerintah supaya menjatuhkan hukuman bunuh kerana murtad. Namun, pemerintah ketika itu hanya meluluskan hukuman penjara sahaja. Apabila Shah Nasiruddin berkuasa, Perdana Menteri Iran pada masa itu meluluskan hukuman bunuh. Akhirnya al-Bab dijatuhkan hukuman bunuh bersama dua pengikutnya pada 27 Syaaban 1365 Hijrah.
Kuliyah Jumaat 17 Ogos 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Saturday, March 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment