Peranan Ulamak Sesat Menyebarkan Ideologi Moden
Masalah besar umat Islam berlaku apabila pihak yang mengikuti ideolgi-ideologi sesat itu memperalatkan ulamak as-suk. Di negara-negara Islam yang dikuasai fahaman Komunis, ada sarjana yang mengajar, bersyarah kepada orang ramai dan mengarang buku-buku berpihak pada ajaran sesat kerana menerima sedikit imbuhan pangkat dan harta benda. Perkara yang sama berlaku di negara-negara Islam yang dikuasai oleh golongan yang berfahaman Kapitalisme, Sosialisme dan sebagainya.
Umat Islam kini berada dalam keadaan kritikal kerana penganutnya terpengaruh dengan fahaman-fahaman yang tidak ada kena mengena dengan Islam. Walaupun mereka mengaku beragama Islam dan melakukan atas dasar sayang pada Islam namun usaha mereka tetap sia-sia. Almarhum Syahid Abdul Kadir Audah berkata, “Kejahilan pengikutnya dan kelemahan para sarjananya.” Syeikh Muhammad al-Wakil juga berkata, “Kejahilan pengikutnya dan tipu daya musuh-musuhnya.”
Kuliyah Jumaat 12 Oktober 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Kesan Pengaruh Ideologi Baru Kepada Umat Islam
Aliran ideologi, falsafah dan teori-teori itu mengenai usrusan Negara, ekonomi atau kemasyarakatan dengan memakai pelbagai nama seperti Sekularisme, Kapitalisme, Sosialisme, Nasionalisme, Pragmatisme dan sebagainya.
Ada penganut masih mengaku beragama Islam dan mengkaji sedalam-dalamnya ajaran Islam. Ada yang tidak faham, tidak mengerti atau jahil mengenai Islam. Paling malang apabila seseorang itu jahil murakkab (tidak sedar dirinya jahil) tetapi mahu bercakap mengenai Islam. Tanpa disedari, dia mula terjebak dalam ideologi-ideologi itu dan berjuang dengan bersungguh-sungguh membelakangkan ajaran Islam sendiri. Mereka mengambil ideologi-ideologi itu dalam perkara-perkara pemerintahan dan ekonomi atau dengan lain perkataan dalam perkara dunia. Ada antara mereka yang berani menuduh Islam dengan tuduhan-tuduhan jahat dan fitnah-fitnah seperti mendakwa Islam tidak sesuai lagi pada zaman ini atau Islam mesti disesuaikan dengan ideologi itu dengan membuat perubahan-perubahan yang berani sehingga menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Mereka sebenarnya orang-orang yang sesat pada zaman ini dan memecah-belahkan masyarakat Islam daripada tali agama Allah.
Oleh kerana Islam ialah cara hidup yang meliputi segala-galanya, maka haram kita membahagi-bahagikan Islam seperti menerima sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Contohnya, beribadah secara Islam, berkahwin secara Islam, melakukan urusan kematian secara Islam tetapi dari sudut pemerintahan, ekonomi dan urusan-urusan duniawi yang lain menolak hukum Islam. Mengingkari salah satu daripada ajaran Islam boleh menyebabkan terkeluar agama walaupun masih sembahyang, puasa, haji dan mengerjakan ibadah-ibadah yang lain. Ini adalah bahaya yang menimpa Islam masa kini. Penganutnya sentiasa mengingkari ajarannya dan mempermainkan mengikut selera. Oleh itu, penting kita mengenali musuh-musuh ini supaya kita dapat menyelamatkan akidah dan iman.
Kuliyah Jumaat 05 Oktober 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Pertembungan Agama Dan Kemajuan
Pada masa kini, manusia merasakan diri mereka maju dengan mencipta ajaran-ajaran baru. Ajaran-ajaran baru itu tidak lagi dinamakan agama tetapi mereka menamakan dengan ideologi atau teori. Ia bermaksud fahaman-fahaman, cita-cita, haluan dan aliran pemikiran. Ia bukan sahaja pendapat tetapi keyakinan akidah yang diperjuang dengan bersungguh-sungguh dan penuh pengorbanan.
Aliran ini berasal dari Eropah yang memisahkan kehidupan mereka daripada agama. Kristian kini dikuasai oleh unsur penyembahan berhala di Eropah kerana agama yang didakwa diajarkan oleh Nabi Isa sebenarnya diseleweng dan hanyut daripada hakikatnya yang sebenar. Oleh itu, ia dibawa ke Eropah dalam keadaan yang tidak lengkap. Ada pindaan-pindaan yang diubahsuai menurut kemahuan kerajaan Rom. Syeikh Abu Hasan Ali an-Nadawi menegaskan dalam bukunya Maza Khasira al-Alam Bi Hitot al-Muslimin, Kristian berjaya dalam bidang ketenteraan tetapi mereka gagal dalam bidang agama. Mereka berjaya mendirikan empayar Rom yang besar tetapi meleset dalam bidang akidah. Oleh kerana unsur penyembahan berhala mengatasi Kristian dan mempengaruhi ajarannya, Kristian terus diseleweng oleh orang-orang Yahudi yang tidak menerima Nabi Isa dan menentangnya dengan sekeras-kerasnya.
Agama Islam yang bersikap sempurna dan lengkap bukan sahaja berjaya dalam bidang akidah, tetapi juga berjaya dalam bidang tamadun dunia. Kemajuan dunia mempengaruhi orang-orang Eropah mempelajari tamadun Islam di Baghdad dan Andalus. Mereka tidak menerima Islam tetapi mereka membawa perubahan melalui tamadun kebendaan ini dan mencetuskan kemajuan kebendaan yang pesat di Eropah. Kemajuan ini tidak dapat diterima oleh penganut-penganut Kristian yang fanatik. Berlaku pertembungan sehingga menyebabkan lahirnya ideologi-ideologi atau teori-teori baru yang berpandukan kepada unsur kebendaan dan perasaan, sama ada menolak agama atau menerima agama sebahagian daripada keperluan manusia.
Perkara yang menjadi perhatian adalah ajaran-ajaran ini dibawa masuk ke negara-negara Islam dan menjadi senjata serangan pemikiran yang berkesan pada masa kini. Ia dapat menjauhkan mereka daripada Islam dengan cara dan hujah tidak menolak Islam dan masih mengakui sebagai peganut Islam. Ia berjaya menyesatkan akidah atau sekurang-kurangnya memecahkan umat Islam kepada pelbagai ideologi dan kumpulan yang memperjuangkan ideologi itu sehingga berlaku pertarungan sesama sendiri dan hanyut jauh daripada Islam secara sedikit demi sedikit. Benar kenyataan Allah dalam surah Ali Imran, ayat 100,
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ تُطِيعُوا فَرِيقًا مِنَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ يَرُدُّوكُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ كَافِرِينَ
Wahai orang-orang Yang beriman! jika kamu taat akan sesuatu puak dari orang-orang (Yahudi dan Nasrani) Yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
Kuliyah Jumaat 28 September 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Saturday, March 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment