Saturday, March 14, 2009

KAPITALISME

Perbandingan Kapitalisme dengan Islam

Terdapat keburukan yang nyata daripada fahaman Kapitalis. Sebahagian daripadanya dapat dilihat dan sebahagian daripadanya masih tersembunyi. Akhirnya mereka mendesak pemimpin-pemimpin supaya membuat pindaan. Antara keburukannya adalah:
# Kapitalis adalah ciptaan manusia yang bersifat lemah. Kedudukannya sama seperti ideologi-ideologi lain yang dicipta oleh manusia. Ia jauh daripada ajaran Allah yang bertujuan menjaga hak sesama manusia. Oleh itu terang dan nyata ianya bercanggah dengan Islam.
# Matlamatnya semata-mata mencari keuntungan walaupun dengan cara yang haram seperti membolehkan riba, judi, import ekspori arak, pengedaran dadah dan sebagainya.
# Menyalahgunakan sifat ananiah (individualistik) yang ada dalam diri manusia. Adakala sifat mementingkan diri perlu dalam kehidupan manusia. Namun, golongan kapitalis menyalahgunakan sifat ini bagi mengaut keuntungan peribadi sehingga berlaku penyalahgunaan kuasa dan penindasan ke atas orang-orang yang lemah. Bagi golongan kapitalis, perlumbaan mencari keuntungan adalah untuk diri masing-masing bukannya memberi jalan kepada orang lain. Akhirnya berlaku tabiat menyorok barang keperluan, penyeludupan, penipuan dan sebagainya.
# Keruntuhan akhlak dalam segala bidang sama ada politik, ekonomi dan hubungan anggota masyarakat. Apabila hilang batas-batas halal dan haram, ia menghilangkan batas-batas yang mengimbangkan antara kepentingan peribadi dan kepentingan masyarakat.
# Pengangguran meningkat dalam masyarakat kapitalis. Apabila banyaknya pengeluaran sehingga melebihi keperluan, para majikan merasakan tidak perlu kepada pekerja yang ramai bagi melipatgandakan keuntungan.
# Pembaziran berleluasa apabila menggunakan segala kemewahan. Kemewahan yang ada adalah untuk peribadi bukannya untuk golongan yang berhajat. Sekiranya pengeluaran produk melebihi keperluan, lebihan produk dilupuskan daripada memberi kepada orang lain.
# Kemuncak daripada fahaman kapitalisme adalah lahirnya semangat penjajahan ekonomi ke atas negara-negara miskin. Negara-negara kapitalis berusaha memonopoli bahan-bahan mentah dan aset tunai lalu menekan negara-negara miskin sehingga mereka terpaksa mengikut telunjuk kehendak negara-negara kapitalis.
# Perhambaan bentuk baru ke atas buruh, petani dan nelayan-nelayan. Golongan kapitalis berkuasa menentukan harga dan memeras keringat golongan ini supaya mengikut segala kemahuan mereka. Mereka memutarbelitkan bayaran, harga, tidak memberi jaminan yang munasabah dan sebagainya.
# Perang dunia yang berlaku pada zaman moden ini adalah kemuncak pertarungan negara-negara kapitalis. Antara motif utama adalah memonopoli minyak.
# Tidak ada istilah berkat dalam kekuasaan dan kemewahan mereka. Apa yang dicapai tidak akan memberi kebahagian di dunia dan akhirat. Perkara ini menjadi kegelisahan orang-orang yang berkuasa dan kaya kapitalis. Oleh itu, fahaman Kapitalisme bercanggah dengan fahaman orang yang beriman kepada Allah dan rasulnya.

Kuliyah Jumaat 14 Disember 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

-------

Fahaman Kapitalisme
Thursday, June 26th, 2008

Kapitalisme adalah fahaman yang berkaitan dengan ekonomi. Ia mempunyai cara berhubung dengan masyarakat dan politik berdasarkan kepada milik perseorangan. Kebiasaannya, seseorang itu adalah pemilik tunggal pada apa yang diusahakan olehnya manakala orang lain pula tindak berhak ke atas hartanya. Pemilik harta mempunyai hak memiliki jalan bagi mendapatkan sesuatu melalui cara yang boleh mendapatkannya. Cara-caranya adalah mendorong perasaan pentingkan diri dengan alasan ke arah kemajuan dari segi ekonomi. Mereka mengadakan beberapa peraturan yang diberi tugas kepada negara.

Dasar-dasar Kapitalisme

Ciri-ciri fahaman kapitalis ini adalah:
# Milik perseorangan pada sumber-sunber yang mendatangkan hasil seperti tanah, modal dan barang-barang. Kebiasaannya, seseorang itu bukan sahaja memiliki pakaian, alat-alat rumah, kenderaan dan binatang ternakan bahkan dia memiliki semua sumber yang menjadi keperluan orang ramai.
# Kebebasan bekerja dan menggunakan segala kekayaan yang ada bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Pengikut fahaman ini menganggap sifat ini menjadi pendorong yang kuat dan penting bagi mencapai kejayaan dalam ekonomi dan peluang meningkatkan pekerjaan dan pendapatan.
# Perlumbaan antara pemilik dengan pesaing apabila berlaku saingan mengeluarkan barang-barang dan menentukan harga. Masing-masing mahu barang-barangnya laris mendapat sambutan.
# Membahagikan kelas dalam masyarakat. Pemilik berada dalam satu golongan manakala pekerja dan pengguna dalam golongan lain. Golongan yang pertama mentadbirkan urusan yang menjadi miliknya dengan memikul beban untung dan rugi. Manakala golongan yang kedua tidak mempunyai hubungan untung dan rugi tetapi lebih bermotif mendapat ganjaran dan kemudahan.
# Berusaha untuk maju dan meningkat. Golongan ini cuba mengurangkan kos tetapi dapat meningkatkan pengeluaran bagi mencapai keuntungan yang lebih besar. Mereka tidak mengira cara sama ada mencari alat-alat murah atau pekerja yang dapat dibayar murah dengan tujuan memperbanyakkan pelanggan melalui pelbagai cara.
# Kerajaan tidak boleh campur tangan dalam kegiatan ekonomi tetapi kuasanya adalah mengawal suasana bebas dan mewujudkan keadaan yang memberi kebebasan kepada rakyat memiliki harta melakukan kegiatan ekonomi

Sejarah dan tokoh

Fahaman ini muncul di negara-negara Eropah sejak pemerintahan Rom. Pemerintah mewujudkan golongan feudal dan golongan agama yang membawa ajaran bagi kepentingan peribadi. Bermula dengan memisahkan agama dengan dunia, mereka kemudian membebaskan diri daripada golongan feudal (bangsawan) lalu melahirkan golongan burjuwis (hartawan dari kalangan menengah). Daripada golongan ini, lahir golongan Kapitalis yang berlumba mencari kekayaan sehingga pandangan bebas bermula pada awal kurun ke-16 secara berperingkat. Seruan pertama adalah membebaskan diri daripada belenggu agama. Seruan kemudian adalah pembebasan melalui ajaran nasionalis (kebangsaan) dengan membebaskan bangsa masing-masing. Akhirnya berlaku kebebasan dalam bidang tabri termasuk dalam kegiatan ekonomi.

Pengasasnya terdiri daripada ahli-ahli falsafah bukan Islam dan antaranya tidak percaya kepada Tuhan. Ada juga yang bermusuh dengan agama. Walaupun ada yang mendakwa beragama namun agamanya bukan Islam malah bermusuh dengan Islam. Antara tokoh-tokoh fahaman ini adalah Adam Smith, David Ricardo, Jean Baptise Say, John Stunt Mill, David Hume dan lain-lain.

Kuliyah Jumaat 07 Disember 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

No comments:

Post a Comment