Saturday, March 14, 2009

SEKULARISME

Gerakan Sekular Dalam Negara Islam

Pada tahun 1883, Khadiwi Ismail yang memerintah Mesir memasukkan undang-undang Perancis dalam undang-undang Mesir. Kononnya, ia bertujuan mencapai kemajuan seperti Eropah. Di India pula, pelbagai usaha dilakukan bagi menghapus amalan perundangan Islam secara beransur-ansur bermula sejak 1791. Algeria dipaksa supaya tidak beramal dengan undang-undang Islam apabila Perancis menjajahnya pada tahun 1830. Di Turki, Kamal Ataturk menggulingkan pemerintahan Uthmaniah diikuti jajahan takluknya seperti Iraq dan Syria. Negara-negara itu dibahagikan di bawah penjajahan Inggeris dan Perancis. Manakala rantau ini iaitu Indonesia, Malaysia dan lain-lain menerima pengaruh sekular melalui kedatangan penjajah Inggeris, Belanda dan lain-lain.

Walaupun negara-negara Islam merdeka daripada penjajahan, penjajah-penjajah Barat mengubah bentuk penjajahan baru di kalangan anak-anak masyarakat Islam. Generasi muda masyarakat Islam dididik dan diajar supaya menghidupkan gaya hidup sekular. Walaupun namanya berlainan daripada segi cara dan tindakan namun dasar dan sumbernya adalah sama.

Kuliyah Jumaat 16 November 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu



Pengaruh Sekularisme Kepada Umat Islam

Fahaman ini dibawa masuk oleh penjajah ke dalam masyarakat Islam sepanjang tempoh penaklukan mereka ke atas negara-negara Islam. Fahaman sekular bertujuan mengikis fahaman akidah, perundangan Islam (syariah) dan akhlaknya secara beransur-ansur. Antara fahaman-fahaman sekular:

-Memisahkan Islam dengan politik. Mereka mendakwa politik itu kotor sedangkan Islam itu bersih.

-Menghalang perlaksanaan hukum-hukum perundangan Islam dan cara hidup Islam sepenuhnya. Mereka menyatakan ia tidak sesuai pada masa kini. Sebaliknya mereka menghadkan agama dengan urusan ritual dan menjaga diri masing-masing.

-Melemparkan fitnah pada Islam bertujuan mengeliru dan menakutkan masyarakat yang cuba mendekati Islam.

-Menggalakkan cara hidup yang bercanggah dengan Islam. Contohnya mendedahkan aurat, hidup bebas dan menganjurkan majlis keramaian yang bercanggah dengan kepentingan akhlak.

-Menyalah tafsir mengenai Islam. Mereka menyifatkan perkara-perkara yang tidak baik apabila dilakukan secara terbuka menjadi baik. Mereka menganggap gerakan Kamal Ataturk di Turki dan lain-lain sebagai pembaharuan dan membawa kebaikan.

-Menghidupkan semula amalan-amalan Jahiliah dan berusaha melupakan sejarah Islam.

-Menyalurkan fahaman sekular melalui pendidikan, pelajaran dan penyebaran media.

-Menyebarkan ideologi-ideologi bukan Islam ke dalam masyarakat Islam.

Kuliyah Jumaat 09 November 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu



Ajaran Yang Dibawa Oleh Golongan Sekularisme

Ajaran yang dikemukakan adalah:

-Menolak agama seluruhnya dan mengingkari wujudnya Allah. Ada juga golongan yang beriman kepada Allah dan mereka berpegang Allah itu tiada hubungan dengan urusan duniawi.

-Kehidupan itu berasaskan ilmu sains semata-mata dan berada di bawah pengaruh logik dan hipotesis. Sekiranya teori agama terkeluar daripada logik akal, agama itu tertolak.

-Membuat sekatan antara ilmu rohan dengan ilmu material. Mereka menganggap nilai-nilai rohani menghalang kemajuan dan memberi kesan yang tidak baik pada urusan dunia.

-Memisahkan agama dengan politik (pemerintahan). Mereka membina kehidupan berdasarkan kepentingan kebendaan. Semua perkara ini menurut mereka tidak boleh dikendalikan oleh agama.

-Melaksankan dasar Pragmatisme (mencari kesempatan) dalam semua perkara bagi menjalani kehidupan menurut kepentingan dunia.

Kuliyah Jumaat 02 November 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

------

Sejarah Kemunculan Sekularisme

Perkataan sekular berasal daripada bahasa Latin yang bererti tiada agama atau duniawi. Terjemahannya dalam bahasa Arab ialah al-Ilmaniah. Orang Arab yang beragama Kristian cuba mengelirukan umat Islam dengan mendakwa kononnya ia daripada perkataan ilmu. Terjemahan yang sebenar al-Ilmaniah ialah duniawi. Alasannya ajaran ini didakwa bersumberkan ilmu dunia yang memberi kemajuan kepada manusia.

Ideologi ini berasal daripada perbalahan hebat antara pemimpin-pemimpin kerajaan dengan paderi-paderi gereja. Begitu juga perbalahan antara sains (ilmu duniawi) dengan paderi-paderi di gereja. Paderi-paderi gereja memegang kuasa dan mementingkan diri sendiri lalu mereka bertarung dengan pemerintah dan juga ahli-ahli ilmu duniawi yang dianggap sebagai penghalang. Perbalahan berakhir dengan melahirkan suatu fahaman yang membawa ajaran supaya memisahkan agama dengan urusan duniawi. Kemudian, ajaran ini bertindak memisahkan agama dengan politik supaya politik “bersih” daripada pengaruh agama.

Ajaran ini diasaskan oleh orang-prang Yahudi pada Revolusi Perancis 1789. Kemudian ia berkembang ke seluruh benua Eropah bagi menyekat pengaruh gereja dalam pemerintahan dan urusan duniawi dalam kehidupan masyarakat.

Tokoh-tokoh yang menghidupkan ajaran ini dinamakan ahli falsafah atau ahli fikir seperti Dikart, Spinuza (beragama Yahudi), Rosu dan lain-lain.

Kuliyah Jumaat 26 Oktober 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu

No comments:

Post a Comment