Musuh-musuh Islam menggunakan fahaman ini bagi memecahkan perpaduan umat Islam. Mereka bertindak melalui saluran politik dengan menggalakkan kewujudan negara-negara yang berasaskan fahaman ini dikalangan umat Islam. Akhirnya, negara-negara Islam dipisahkan melalui sempadan negara atau ditiupkan semangat kebangsaan negara masing-masing sehingga mereka tidak mempedulikan nasib yang menimpa umat Islam di negara lain.
Melalui saluran pendidikan pula, golongan ini cuba menghidupkan kembali sejarah zaman jahiliah bangsa masing-masing dan menenggelamkan sejarah Islam sendiri. Contohnya menghidupkan semula sejarah Firaun di kalangan rakyat Mesir, sejarah Majusi di Iran, sejarah penyembahan patung Baalbek di Lubnan, sejarah hidup orang Hindu dan Buddha di India dan alam Melayu. Pengajian ini disampaikan melalui pengajian-pengajian rasmi di sekolah, media massa atau projek cari gali artifak simpanan orang-orang Jahiliah. Apabila terdapat penemuan, penemuan itu dipuja dan dibanggakan. Adakala projek ini dibiayai oleh badan-badan antarabangsa dengan perbelanjaan yang besar. Bajet projek ini jauh lebih besar dan utama daripada perbelanjaan membantu mangsa-mangsa kebuluran di beberapa daerah di dunia ini.
Ketika negara Islam ditinggalkan penjajah, mereka menyerahkan kuasa pemerintahannya kepada golongan bersemangat nasionalis. Golongan yang berjuang menentang penjajah sehingga korban syahid, meringkuk dalam tahanan penjara dan pembuangan negeri golongan Islam dan para sarjananya dilupakan. Sebaliknya, golongan-golongan nasionalis pada zaman penjajahan sebenarnya terdiri daripada anak-anak negeri yang menjadi pegawa-pegawai kepada penjajah.
Kuliyah Jumaat 30 November 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
-------
Islam dan Nasionalisme
Nasionalisme ialah fahaman yang menjadikan ikatan bangsa, keturunan, bahasa atau kawasan sebagai matlamat perjuangan bagi menegakkan kepentingannya. Ia tidak mengira batas-batas keadilan menurut Islam sehingga fahaman ini menjadi falsafah politik, ekonomi dan kegiatan-kegiatan yang lain.
Fahaman ini juga lahir daripada fahaman memisahkan agama dengan dunia. Agama tidak dijadikan dasar dan panduan dalam kepentingan ekonomi, politik dan lain-lain tetapi ia lebih cenderung pada semangat kebangsaan. Fahaman ini menjadi ukuran dalam semua perkara sehingga mengatasi kepentingan akidah yang menjadi pegangan hidup.
Pada masa dahulu, fahaman ini lebih dikenali sebagai asobiah (fanatik perkauman). Definisinya masih sempit iaitu perjuangan bagi kelompok kecil yang dikenali kabilah atau keluarga yang mesti dipertahankan walaupun atas dasar dan tindakan yang zalim. Definisi ini disebut dalam hadis Nabi Muhammad:
“Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada asobiah, bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar asobiah dan bukan dari kalngan kami yang mati atas dasar asobiah.”
Seorang sahabat bertanya:
“Apakah asobiah itu wahai Rasulullah?”
Nabi Muhammad menjawab:
“Asobiah itu ialah kamu menolong kaummu atas dasar kezaliman.”
(Riwayat Muslim, Abu Daud dan Nasa’i)
Islam dan Nasionalisme
Islam mengiktiraf perasaan kasih pada bangsa dan tanah airnya kerana Allah berkata kepada Nabi Muhammad dalam surah al-Syuarak ayat 214,
“Berilah amaran kepada keluargamu yang hampir.”
Nabi Muhammad pernah berkata pada Hari Pembukaan Kota Mekah,
“Demi Allah, sesungguhnya engkaulah (Mekah) sebaik-baik bumi Allah, dan bumi Allah yang paling Allah kasih kepadanya. Kalaulah tidak kaumku mengeluarkan aku darimu nescaya aku tidak keluar.
(Riwayat oleh at-Tirmizi)
Walau bagaimanapun, Islam melarang kasih pada sesuatu yang melebihi daripada Allah, Nabi Muhammad dan Islam. Lebih membimbangkan apabila seseorang bertindak melulu dan merendahkan kasih Allah dengan meletakkan kepentingan bangsa dan puak lebih daripada yang lain dan melampaui batas-batas Allah. Kerana Allah menyebut dalam surah at-Taubah, ayat 24,
“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda Yang kamu usahakan, dan perniagaan Yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal Yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara Yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang Yang fasik (derhaka).”
Allah menyebut lagi dalam surah al-Mujadalah, ayat 22,
“Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum Yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra Dengan orang-orang Yang menentang (perintah) Allah dan RasulNya, sekalipun orang-orang Yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman Dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka Dengan semangat pertolongan daripadanya; dan Dia akan memasukkan mereka ke Dalam syurga Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah reda akan mereka dan mereka reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. merekalah penyokong-penyokong (ugama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (ugama) Allah itu ialah orang-orang Yang berjaya.”
Ini adalah bukti akidah Islam mengatasi segala hubungan yang lain sama ada hubungan keluarga, keturunan dan bangsa. Al-Quran melarang Nabi Muhammad dan umat Islam memohon ampun untuk orang musyrik walaupun mereka daripada kaum keluarga. Allah menyatakan kisah Nabi Nuh yang kasihan kepada anaknya yang ditenggelami banjir tetapi Allah tidak mengizinkan beliau untuk memohon ampun kepada anaknya. Kisah nabi Ibrahim dengan ayahnya yang tidak beriman juga menunjukkan kasih sayang keluarga tidak boleh dijadikan asas bagi memohon keselamatan dunia dan akhirat sekiranya Islam tidak dijadikan teras dalam kehidupan.
Kuliyah Jumaat 23 November 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Saturday, March 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment