Bukti-Bukti Yang Mendedahkan Kejahatan Qadiani
Selain itu, ada bukti-bukti yang mendedahkan kejahatannya. Antaranya ialah:
# Pihak Inggeris memberi imbuhan yang besar berjumlah beratus ribu paun bagi menyara hidup Ghulam Ahmad. Mereka juga menyediakan pengikut-pengikut daripada umat Islam yang mendapat pendidikan Inggeris di India dan memberi kemudahan kepada mereka. Selain itu, pihak Inggeris juga memberi kemudahan kepada pengikut-pengikut Qadiani bagi menyebarkan ajarannya di negara-negara Islam termasuk Malaysia. Selain itu, pihak Inggeris memberi kemudahan mendapat kerja dan kenaikan pangkat kepada para pengikutnya. Kerajaan Inggeris lebih bersemangat bagi membantu Qadiani apabila ajaran itu menyebarkan fahaman membatalkan jihad.
Pada masa yang sama, pengikut-pengikut Qadiani menyertai tentera Inggeris terutamanya diserapkan dalam bahagian pengintipan. Ia bertujuan mengintip pergerakan masyarakat Islam. Ia terbukti apabila kerajaan Afghanistan berjaya menangkap dua pengintip Inggeris daripada kalangan pengikut ajaran Qadiani. Para pengikutnya adalah antara yang bergembira apabila Inggeris dan sekutunya berjaya menjatuhkan kerajaan Turki Uthmaniah dan menamatkan sistem pemerintahan berkhalifah pada pertengahan abad ke-14 Hijrah. Pada ketika itu, umat Islam di seluruh dunia bersedih dengan berita itu dan berjuang bagi mengembalikan kedaulatan negara-negara Islam di bawah sistem khalifah. Mereka giat menganjurkan perjumpaan dan menubuhkan kesatuan bagi meneruskan perjuangan di seluruh pelusuk dunia Islam.
# Mengemukakan ramalan-ramalan palsu yang tidak berlaku. Dia dengan berani membuat kenyataan ramalan-ramalan itu dan bersumpah menerima laknat dan hukuman sekiranya ramalan itu tidak betul. Antara ramalan itu ialah:
# Ghulam Ahmad pernah berdebat dengan orang awam di bandar Amritusar pada tahun 1863. Apabila dia gagal mematahkan hujah orang itu, dia meramalkan orang itu akan mati dalam tempoh 15 hari sekiranya tidak mengikut agamanya. Namun selepas tempoh itu, orang itu masih hidup hingga beberapa tahun.
# Ghulam Ahmad meminang perempuan yang dicintainya di kalangan keluarganya. Dia mendakwa mendapat ilham daripada Allah supaya berkahwin dengan perempuan itu. Dia menjanjikan keluarga perempuan itu mendapat berkat dan kurnia yang besar. Sekiranya pinangannya ditolak, laknat dan azab Allah akan turun. Namun, pinangan itu tetap ditolak dan perempuan itu berkahwin dengan lelaki lain. Laknat yang dijanjikan tidak berlaku ke atas perempuan itu dan keluarganya. Sebaliknya Ghulam Ahmad berkata, Tuhan menikahkannya dengan perempuan itu di langit.
# Ghulam Ahmad mempunyai empat anak lelaki. Dia membuat kenyataan meramalkan dengan wahyu, anak yang kelima akan dilahirkan adalah anak lelaki. Namun, isterinya melahirkan anak perempuan dan terus melahirkan anak perempuan walaupun dia menangguhkan ramalannya beberapa kali.
# Dia berkata daerah Qadian tidak boleh dimasuki oleh wabak taun. Namun, Allah menurunkan bala taun sebagai hujah mendustakan ramalannya. Ghulam Ahmad juga mendakwa rumahnya seperti bahtera Nabi Nuh dan tidak sekali-kali dapat dimasuki taun. Sebaliknya wabak itu sampai ke rumahnya dan menjangkiti isi rumahnya termasuk dia.
# Seorang doktor muslim bernama Abdul Hakim berkata di hadapan Ghulam Ahmad, “Awak pembohong besar.” Doktor itu kemudiannya mencabarnya berdebat. Ghulam Ahmad mengancamnya dengan menurunkan bala, balasan daripada Allah dan doktor itu mati dahulu daripadanya. Dia juga mendakwa dia dapat melihat kematian Doktor Abdul Hakim semasa hayatnya. Doktor Abdul Hakim membalasnya, Ghulam Ahmad akan mati dalam tempoh 15 bulan. Allah mengurniakan pertolongan kepada doktor itu dengan melanjutkan umurnya. Ghulam Ahmad mati dahulu dengan menerima hukuman Allah ke atasnya.
Ada tanda-tanda kekurangan akal pada diri Ghulam Ahmad. Kadang-kadang, dia seperti hilang ingatannya sehingga dia tidak tahu membezakan antara garam dengan gula. Dia pernah ke kedai membeli gula tetapi dia mengambil garam. Pernah berlaku apabila menjadi kelazimannya membawa tanah keras untuk istinjak dan gula-gula untuk dimakan. Tetapi dia memamah tanah yang sepatutnya digunakan bagi istinjak dan bukannya gula-gula.
Antara sarjana Islam yang masyhur dapat menghalang Qadyani adalah Syeikh Thana’u Allah al-Amratsori. Beliau adalah alim terkenal dari India dan mengemukakan hujah-hujah yang kuat setiap kali menghadapi ajaran itu. Oleh kerana Ghulam Ahmad berdegil, beliau mencabar dengan menentukan Ghulam Ahmad akan dibinasakan dan mati dalam kehinaan. Selepas beberapa hari sahaja, Ghulam Ahmad dibinasakan dengan mati yang hina.
PERPECAHAN DI KALANGAN QADIANI
Selepas Ghulam Ahmad dibinasakan, pengikut-pengikutnya berpecah kepada dua golongan:
Nuruddin
Mereka percaya Ghulam Ahmad adalah Nabi Allah dan Rasulnya, al-Masih (Nabi Isa) yang dijanjikan dan Imam Mahdi yang ditunggu kemunculannya. Dia lebih baik daripada semua nabi dan rasul. Sesiapa yang tidak percaya ajarannya didakwa kafir masuk neraka. Antara pemimpin golongan ini ialah Mahmud Ahmad bin Ghulam Ahmad dan Ahmad Sodiq yang dianggap Mufti Qadiani.
Muhammad Ali
Mereka berkata, Ghulam Ahmad bukannya nabi tetapi mujaddid. Sesiapa yang mengingkarinya menjadi fasiq. Antara pemimpin golongan ini ialah Khoja Kamaluddin dan Muhammad Ahsan Amruhi.
Kuliyah Jumaat 21 September 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Kesesatan Golongan Qadiani/ Ahmadiah
Para sarjana Islam di India mengadakan debat dengan golongan ini dan berjaya mematahkan hujah mereka di semua tempat. Selain itu, sarjana Islam mengarang buku-buku dan risalah berkaitan bagi menyedarkan umat Islam akan bahaya ajaran Qadiani atau Ahmadiah ini. Buku ini mendedahkan sebahagian dari kesesatannya sebagai peringatan untuk pembaca dan bahan untuk menentang hujah mereka dan orang-orang sepertinya.
Antara kesesatannya adalah:
# Dalam perkara ketuhanan, dia menyamakan Tuhan dengan makhluknya. Dia mendakwa Allah itu bersembahyang, berpuasa, tidur dan berjaga, menulis, betul dan salah, berjisim dan berjuzuk, bersetubuh dan mempunyai anak dan lain-lain.
# Dalam perkara kenabian, mereka menafikan Nabi Muhammad, itu adalah penutup para nabi dan rasul. Sebaliknya mereka mendakwa, nabi itu sentiasa ada termasuklah Ghulam Ahmad al-Qadiani dan ada lagi rasul selepasnya. Hujah mereka bertentangan dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 40,
“Muhammad itu bukanlah bapa daripada lelaki antara kamu tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup nabi-nabi. Allah itu maha mengetahui segala sesuatu.”
# Para pengikut Ghulam Ahmad mendakwa dia menerima wahyu dan kitab daripada Malaikat Jibril. Kitab yang didakwa itu dinamakan kitab al-Mubin. Isi kandungannya penuh dengan kebodohan dan susunan ayat yang tidak tersusun. Ghulam Ahmad mendakwa malaikat yang datang menemuinya berwajah pemuda Inggeris. Pengikutnya percaya kedudukan Ghulam Ahmad dengan Nabi Muhammad seperiti kedudukan Nabi Harun dengan Nabi Musa.
# Pengikut Qadiani mendakwa daerah Qadian adalah tanah suci yang lebih mulia daripada Mekah dan Madinah. Kedudukannya seperti tanah haram yang perlu dilakukan ibadah-ibadah tertentu bagi menghormatinya.
# Bagi mereka, haji adalah berhimpun di bandar Qadian.
# Membatalkan jihad. Allah pernah membenarkan bunuh kanak-kanak pada zaman Nabi Musa. Amalan itu dimansuhkan oleh Nabi Muhammad dengan tidak membenarkan membunuh kanak-kanak dan perempuan. Kini, Ghulam Ahmad pula memansuhkan hukum jihad.
# Menghina para sahabat termasuk Husain dan Hasan, cucu kesayangan Nabi Muhammad. Dia pernah berkata dalam poket aku ini ada 100 Husin. Dia juga mendakwa dirinya lebih baik daripada Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan para sahabat yang lain.
# Wajib taat kepada kerajaan Inggeris kerana mereka menjadi pemerintah (wali amri) kepada orang-orang Islam. Umat Islam wajib memberi kesetiaan (walak) kepada mereka.
# Tidak membenarkan pengikutnya bersembahyang dan berkahwin dengan umat Islam. Namun, sembelihan orang-orang Islam boleh dimakan seperti hukum sembelihan ahli kitab.
# Menghalalkan arak dan judi yang menjadi kegemaran Ghulam Ahmad dan beberapa pemimpin ajaran Qadiani. Bagi Ghulam Ahmad, khayal candu bukan mabuk tetapi tenggelam dalam makrifah Allah.
Kuliyah Jumaat 14 September 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Sejarah Mazhab Qadiani atau Ahmadiah
Ajaran ini diasaskan oleh Mirza Ghulam Ahmad al-Qadiani. Qadian adalah gelaran tempat kelahirannya di salah sebuah bandar di wilayah Punjab, India. Apabila ajaran al-Babiah dan al-Baha’i mendapat sokongan penjajah di Iran, ajaran Qadiani, Qadianiah atau Ahmadiah pula mendapat sokongan penjajah Inggeris di India dengan tujuan merosakkan akidah umat Islam dari dalam. Ia juga bagi mewujudkan masalah dalaman umat Islam sehingga meredakan penentangan mereka kepada penjajah.
Pengasasnya mempunyai latar belakang sejarah yang tidak baik sejak awal lagi. Keluarganya menjadi hamba kepada penjajah Inggeris di India. Dia dilahirkan pada tahun 1839 atau 1840 Masihi. Dia mempelajari ilmu bahasa Arab seperi nahu dan sorof. Selain itu, dia juga mempelajari ilmu bahasa Inggeris, ilmu perubatan dan juga ilmu tilik nasib daripada ayahnya yang pernah menjadi penilik nasib.
Pada mulanya, dia menunjukkan sikap berpegang pada ajaran Islam sebenar dengan membela agama dan bersedia mengarang kitab bagi tujuan itu. Dia berjaya mengumpulkan sumbangan wang dan tenaga oleh masyarakat di tempatnya yang menyokong usahanya itu. Namun, secara tiba-tiba dia menyeleweng dan menyebarkan ajaran itu dengan mendakwa nabi Isa sudah wafat dan kuburnya terletak di India. Hujahnya adalah apabila Nabi Isa diburu oleh puak pelampau Yahudi, beliau berhikrah ke Kashmir dan tinggal di sana sehingga meninggal dunia. Beliau meninggal dunia semasa berusia 120 tahun dan dikuburkan di sana. Walaupun teorinya secara jelas menunjukkan pembohongan dan rekaan semata-mata, terdapat segolongan umat Islam yang mempercayainya.
Kemudian, dia mengaku menjadi Imam Mahdi. Imam Mahdi adalah individu yang dijanjikan oleh Nabi Muhammad akan lahir pada akhir zaman. Dia membacakan hadis, setiap 100 tahun akan lahir pemimpin gerakan pembaharuan (mujaddid). Akhirnya dia mendakwa dirinya adalah mujaddid pada akhir abad ke-14 Hijrah.
Selepas berjaya mengumpul pengikut, dia menaikkan tarafnya dengan roh Nabi Isa menjelma di dalam dirinya. Kemudian, dia mendakwa roh Nabi Muhammad menjelma dalam dirinya. Akhirnya, kedua-dua roh nabi itu berkumpul dalam dirinya.
Memandangkan para nabi mempunyai mukjizat, dia juga mendakwa mempunyai mukjizat. Dia berkata, “Aku boleh mengadakan sejuta mukjizat.” Namun, tidak ada satu pun mukjizat yang bedaku. Ada juga beberapa ramalan yang dibuat olehnya seperti memberitahu saat kematian penentangnya dengan tarikh yang ditetapkan tetapi ramalan itu tidak berlaku.
Ajaran Qadiani bercanggah dengan rukun-rukun iman secara terang-terangan. Antaranya rukun beriman pada Allah, para rasul dan hari kiamat. Kesesatannya semakin jelas terdedah apabila gerakannya disokong kuat oleh penjajah Inggeris di India. Pihak Inggeris memberi kebenaran kepada Mirza Ghulam Ahmad bagi menyebarkan ajarannya di negara-negara umat Islam. Sebagai tanda sokongan, pihak Inggeris memberikan kawasan penempatan yang mereka namakan Rabwah di daerah Punjab bagi dijadikan pusat gerakannya di seluruh India dan seluruh dunia Islam. Gerakan ini diberikan pelbagai kemudahaan bergerak dengan harapan gerakan ini dapat memecahkan kesatuan umat Islam dan meredakan tentangan mereka kepada penjajah.
Kuliyah Jumaat 07 September 2007
Dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu
Saturday, March 14, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Assalamualaikum
ReplyDeleteJangan hanya dengar sebelah pihak sahaja, nanti berat sebelah. lihat pula komen dari orang yang kamu anggap jahat dan sesat.
http://barahinahmadi.blogspot.com/2009/11/benarkah-qadiani-jahat.html