Tuesday, March 10, 2009

MENCAPAI ROH TANZIM HARAKI

Suatu Muhasabah Pada Pendokong Gerakan Islam

” Hendaklah engkau beriltizam dengan jamaah muslimin dan imam mereka”
(Hadis dari Huzaifah Al-Yaman)

1.0 Premis dasar.

Tugas yang paling mulia dan paling agung sekali di dunia ialah tugas menyeru manusia kepada Allah s.w.t. Menjadi dai’ merupakan tugas yang bermatlamat untuk mengembalikan manusia di dunia ini kepada sistem alam yang sesuai dengan fitrah manusia. Tugas ini memerlukan kepada mentaliti pembinaan serta kaedah-kaedah yang khusus untuk memproses pembinaan ini. Tugas ini memerlukan kita membaiki diri kita dan menyeru orang lain agar menerima jalan mulia ini.

Setiap binaan memerlukan kepada penyusunan yang rapi, oleh kerana proses pembinaan dakwah itu merangkumi seluruh peringkat, maka ianya memerlukan kepada banyak perancangan meliputi pembinaan peribadi, pembinaan keluarga, pembinaan masyarakat dan institusinya, pembinaan semula dunia Islam dan untuk membentuk semula dunia ini secara keseluruhannya.

Kefahaman mengenai jihad dalam konteks haraki amat di perlukan bagi menyemarakkan lagi maksud tanzim haraki. Walaupun jelas maksud jihad dengan maknanya ialah berperang di jalan Allah. Manakala makna yang umum adalah hidup kita dari awal hingga ke akhirnya adalah jihad yang memiliki tahap-tahap dan pusingan, dan setiap pusingan melayakkan pusingan yang lain pula. Imam Ibn Al-Qayyim r.ah. ketika membicarakan maksud jihad ini memulakan dengan berjihad terhadap jiwa dan nafsu untuk mengenali kebenaran kemudian berjihad untuk beramal dengannya, dan jihad tahap kedua pula adalah iaitu bersabar tehadap bebanannya serta cabaran yang merintangan tugas dakwah ini.

2.0 KEWAJIBAN BERINTIMA’ KEPADA JAMAAH

Perjuangan Islam dilangsungkan secara berjamaah. Tiada siapa yang boleh menafikan penegasan ini justeru ia sabit melalui nas yang diwahyukan oleh Allah swt. juga sirah perjuangan baginda saw. Firman Allah swt. yang bermaksud :

“Sesungguhnya Allah suka ( redho ) terhadap orang – orang yang berjuang di jalanNya sebagai satu saff, seolah – olah mereka adalah satu binaan yang kukuh , tersusun rapi“. (Surah As Saff : 4)

Para Ulama’ turut berhujjah dengan menggunakan kaedah feqh bagi menjelaskan kewajipan muslim memberi intima’ terhadap jamaah, setelah dilihat bahawa Jamaah adalah merupakan satu wasilah penting untuk mengembalikan Khilafah Islamiyyah yang runtuh. Fungsi jamaah akan menyatukan ummah dengan kepimpinan dan gerak kerja amal Islami yang sistematik. Tanpa jamaah (organisasi berkepimpinan), ummah tidak mungkin dapat diikat dengan pengarahan terancang dan strategik untuk melahirkan satu gerakan dan kebangkitan bagi memperjuangkan Islam, sedangkan mendaulatkan syariat dan mendirikan Khilafah Islamiyyah itu adalah wajib. Maka menubuhkan jamaah dan memberikan intima’ kepadanya dihukum wajib berasaskan kaedah feqh :

مَا لاَ يَتِمُّ اْلوَاْجِبُ إِلاَّ بِهِ فَهُوَ وَاْجِبٌ
“Suatu yang tidak sempurna kewajipan melainkan dengannya, maka sesuatu itu menjadi wajib“.

Begitu juga dengan Firman Allah swt. yang bermaksud :

“…. dan hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan yang menyeru ke arah kebaikan dan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran dan mereka adalah golongan yang beroleh kemenangan“. (Surah Aali Imran: Ayat 104)

Al Imam Allusi Rhm di dalam Ruuhul Ma’ani ketika menafsirkan ayat ini, menegaskan pengertian ummah di dalam ayat ini ialah individu yang bergandingan (membentuk satu jamaah) melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ibnu Katheer Rhm menyebut: ….dan maksud dari ayat ini ialah, bahawa hendaklah ada satu golongan (firqah / jamaah) daripada ummah ini melaksanakan tanggungjawab tersebut. Ayat di atas, sungguhpun menggunakan perkataan ummah , ini tidak bermakna Allah melepaskan tanggungjawab terbuka kepada ummah tanpa wujud satu gerakkerja yang terancang dikalangan ummah untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut. Gerakkerja terancang dan sistematik, adalah satu keperluan asasi dan bersifat prinsip untuk menjayakan perlaksanaan tanggungjawab yang termaktub di dalam ayat di atas:

1. Dakwah Islamiyyah.
2. Perlaksanaan Syariat ( Amar Makruf ).
3. Mencegah kemungkaran

Saiyidina Ali karramallahu wajhah pernah menegaskan:

اَلْحَقُّ بِدُوْنِ النِّظَام يَغْلِبُهُ اْلبَاطِلِ بِالنِّظَام
“Kebenaran tanpa tanzim (penyusunan terancang/ sistematik) akan dikalahkan oleh kebathilan yang mempunyai perancangan penuh sistematik” .

Gerakkerja terancang inilah memerlukan satu pembentukan Jamaah yang Munazzamah, mempunyai kepimpinan yang berwibawa dan diikat dengan intima’ yang berasaskan ketaatan kepada jamaah dan pimpinannya yang memperjuangkan Islam.
Saiyidina Omar Al Khattab rha. menyebut:

لاَ إِسْلاَمَ إِلاَّ بِجَمَاعَةٍ وَ لاَ جَمَاعَةَ إِلاَّ بِإِمَارَةٍ وَلا إِمَارَةَ إِلاَّ بِطَاْعَةٍ .
“Tiada Islam tanpa Jamaah dan tiada Jamaah tanpa Kepimpinan dan tiada Kepimpinan tanpa Taat” .

Lebih terasa keperluan Jamaah ini setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah terakhir pada tahun 1924 yang lalu, ulamak yang memahami tanggungjawab untuk mengembalikan semula Khilafah Islamiyyah yang runtuh telah merancang dan membentuk Jamaah Islamiyyah atau Harakah Islamiyyah sebagai wadah ummah untuk berjuang dengan teliti dan strategi guna mengembalikan Khilafah tersebut .Bermula 1928 apabila tertubuhnya Gerakan Ikhwan Muslimin di Mesir yang ditubuhkan oleh Imam Hassan Al Banna, maka kesedaran berjamaah ini mula tersebar keseluruh pelusuk dunia. Akhirnya pelbagai Gerakan Islam muncul di serata dunia, yang berjuang dengan matlamat yang sama kearah mendaulatkan Syariat Allah dan mengembalikan semula Khilafah yang telah runtuh. Bahkan di Mesir sendiri wujud pelbagai Jamaah Islam dengan pelbagai pendekatan dan penampilan .

3.0 Komponen Utama Tanzim Haraki.

Rumusan yang dibuat oleh pelbagai ulama’ haraki seperti asas yang telah dibina oleh Imam As-Shahid Hassan Al-Banna, Abu A’la Al-maududi, Ust. Mustaffa mashur, Ust. Said Hawwa, Abu Hassan Ali An-Nadwy, Dr. Abdul Karim Zaidan dan lain-lain tokoh dapat disimpulkan kepada beberapa faktor iaitu;-

3.1 Memahami matlamat utama dalam melaksanakan kerja dakwah.
Matlamat utama dalam tariqud dakwah ini adalah memahami jalan menuju kepada Allah s.w.t., jalan keredhoan dan jalan ke syurga. Jalan yang sama yang pernah dilalui oleh para sahabat, para Rasul. Di atas jalan ini para juru dakwah berusaha untuk sampai ke matlamat yang paling tinggi. Matlamatnya ialah Allah, sasaran untuk mengukuh agama Allah di muka bumi, menegakkan daulah Islamiah ”Hingga tidak ada fitnah, dan jadilah agama semuanya untuk Allah s.w.t”, jalan yang telah ditempoh oleh baginda Rasululah s.a.w. adalah sebaik-baik ikutan. Ahli-ahli dalam jamaah diwajibkan bekerja dan mengorbankan segala sesuatu yang berharga demi mencapai matlamat tersebut. Oleh itu penglibatan dan tanggungjawab serta iltizam di jalan ini, sabar dengan kepayahan dan perjalanan walaupun jauh, sekali-kali tidak akan menyimpang ke jalan lain dengan izin Allah dan sekali-kali tidak akan rela dengan jalan lain.

Selain daripada matlamat utama tersebut, sebuah jamaah wajib mempunyai matlamat jangka panjang dan pendek yang ahli-ahli perlu tahu supaya bahtera dapat dipandu ke arah sasaran yang betul. Kesyumulan Islam itu adalah intipati utama yang akan diperjuangkan oleh jamaah ini. Jamaah mesti membuat kajian sosial untuk mengetahui amal Islami masakini yang terabai dari umat, serta mencari formula bagaimana untuk membetulkan kepincangan ini.

3.2 Pembinaan peribadi juru dakwah.
Jamaah seharusnya mempunyai perancangan untuk pembinaan watak para da’i yang akan melaksanakan tanggungjawab besar membawa risalah mulia. Sebagaimana rumusan bagi seorang ahli ikhwan yang telah disebutkan ”Individu yang kita kehendaki ialah individu yang mempunyai aqidah yang sejahtera, ibadat yang sah, fikiran yang berilmu pengetahuan, mampu berusaha, kuat jasmaninya, sentiasa melalukan mujahadah dengan dirinya, menjaga waktu, mengatur urusan, bermanfaat kepada orang lain”. Wasilah untuk membentuk individu muslim terbahagi kepada tiga perkara yang seharusnya sepadu antara satu sama lain.

i) Al-Murabbi (Pendidik)
ii) Manhaj yang sesuai.
iii) Biah (suasana keliling) yang solehah.

Individu ini juga perlu dipersiapkan dengan ilmu dakwah kontemporari yang sesuai keadaan serta cabaran semasa. Wasilah dakwah yang tidak jumud dan beku menghadapi kerencaman umat yang pelbagai watak serta teknologi yang semakin canggih kini.

3.3 Pembinaan keluarga jurudakwah.
Pembinaan keluarga al-akh al-mujahid juga amat penting kerana ia menjadi teladan kepada mad’u (sasaran dakwah). Diantara perkara utama yang dipinta dalam membina keluarga kepada para juru dakwah ini ialah ”membimbing keluarganya supaya menghormati fikrahnya, menjaga adab-adab Islam dalam lahiriah rumahtanganya, bijak memilih isteri, bijak mendidik anak-anak dan orang yang di bawah jagaannya dan bertanggungjawab dengan mendidik mereka sejajar dengan prinsip Islam”

3.4 Sistem berjamaah.
Kehidupan berjamaah atau berorganisasi memerlukan satu kemahiran bertolak ansur antara hasrat dan cita-cita peribadi untuk dikongsi bersama dengan individu lain dalam jamaah. Jamaah bertangguhjawab untuk melakukan proses tajdid dalam masyarakat. Proses ini bermula dengan mencari anasir-anasir yang layak untuk ditabal menjadi qiyadah dalam jamaah, memperlengkapkan dan menentukan peranannya, kerana qiyadah ini bertanggungjawab untuk mewujudkan iman yang mendalam, melaksanakan proses taqwin yang teliti serta melakukan manhaj yang betul dalam jamaah. Oleh itu beberapa faktor yang perlu perlu diberi tumpuan dalam jamaah Islamiah ialah :-

i) Memahami dan patuh kepada peraturan atau amalan jamaah.(amal jamai’e)
ii) Berbaiah serta mentaati kepimpinan yang telah dilantik.
iii) Ikut serta patuh kepada keputusan syura.
iv) Mempunyai perencanaan jamaah yang teratur.

4.0 Memahami Wasilah Dakwah.

Wasilah bermaksud bentuk-bentuk dakwah, cara untuk menyampaikan dakwah kepada manusia. Terdapat pelbagai wasilah yang tradisional dan moden yang boleh diguna pakai untuk menyampaikan dakwah, antaranya adalah :

i) Dakwah dengan lisan:

Contohnya pengajaran/ pengajian di surau-surau atau masjid, Ceramah-ceramah, diskusi, dialog, muzakarah, forum yang disampaikan secara terus atau melalui media massa seperti radio dan TV. Sebahagian daripada ucapan ini dirakamkan dan boleh disiarkan pada bila-bila masa dengan teknologi terkini, VCD, CD, DVD, Tape dan teknologi moden kini.

ii) Dakwah dengan tulisan:

Menerbitkan risalah, majalah, pamplet dan lain-lain bahan, penerbitan buku, mengadakan pameran adalah sebahagian contoh dakwah melalui tulisan. Perbezaan dakwah melalui tulisan adalah kitab-kitab yang dikarang oleh Ulama’ terdahulu yang masih bermanfaat hingga kini, Kitab-kitab karangan Imam Al-Ghazali Ihya Ululmuddin, Sheikh Samad Al-Falemban,i Sairus Salikin, Imam An-Nawawi, Imam As-Shafie dan lain-lain lagi.

iii) Dakwah dengan Tulisan dan Lisan:

Iaitu majlis yang menghimpunkan kedua-dua wasilah tersebut seperti seminar, konvensyen, bengkel dan sebagainya. Bukan sekadar berucap tetapi juga menyediakan bahan untuk dirujuk apabila pulang kerumah nanti. Bahan-bahan ini boleh membantu memantapkan lagi ingatan penyampai semasa pembentangan tadi.

iv) Dakwah bil hal (dengan akhlaq):

Sebahagian daripada wasilah dakwah itu adalah keperibadian yang baik, seperti pakaian menutup aurat, bersih suasana persekitaran di rumah, sekolah, atau dalam berpakaian tadi dan dimana sahaja, melakukan amar maaruf dan nahi mungkar, termasuk dalam memiliki akhlaq yang mulia ini adalah berbuat baik pada kedua ibu dan bapa kita. Menghormati guru, menjaga hak-hak jiran dan banyak lagi contoh teladan dan akhlaq yang terpuji yang boleh kita lakukan.

Bagi para pendakwah pendekatan dengan akhlaq yang mulia dengan berperibadi mulia adalah kekuatan yang perlu dimiliki oleh mereka. Ia berkait rapat dengan seluruh kegiatan hidupnya, sikap pada kerabatnya, jiran tetangganya, cara bergaul dan bermuamalah, cara berbicara dengan mereka dan kehidupan keluarganya. Contoh teladan ini adalah lebih besar pengaruhnya pada jiwa manusia daripada ucapan- ucapan.

5.0 Ransangan Dakwah.

Kita semua ingin hidup di dunia ini dengan mendapat keredhaan Allah, menunaikan amanah-Nya, dan akhirnya mendapat peluang untuk ke syurga-Nya. Kita semua tidak mampu menahan azab bakaran neraka dan kesepian hidup di alam kubur. Pun begitu, kita kerap terlalai, hidup penuh dengan kesibukan untuk memikirkan arah hidup yang benar, kelekaan keseronokkan hidup di dunia ini mudah memesong kita daripada petunjuk yang Allah telah berikan, terlalu banyak halangan yang diberikan, sehingga kita terlupa teguran Allah s.w.t pada kita semua ;

Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). AT-TAUBAH: 24.

Sesungguhnya syurga Allah itu mahal harganya kecuali mereka yang betul-betul memperjuangkan amanah Allah di muka bumi sementara ini.

Sesungguhnya syurga Allah itu mahal harganya kecuali mereka yang betul-betul memperjuangkan amanah Allah di muka bumi sementara ini.Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada ugama Allah). AL-BAQARAH: 214

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَى تِجَارَةٍ تُنْجِيكُمْ مِنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ. تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ

وَأَنْفُسِكُمْ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَكُمْ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ.

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).

6.0 Proses pembinaan.

Tugas kita sekarang adalah untuk memcari dan memeriksa calon-calon yang mampu dan berkelayakan untuk memproses binaan yang kita kehendaki itu. Sekiranya manusia yang kita kehendaki itu tidak ada, maka kita berkewajipan pula untuk menyedia dan melayakkannya. Tanggungjawab besar ini dibebankan kepada sebuah Jamaah Islam yang matlamat utamanya adalah dakwah illallah. Apa yang perlu kita lakukan adalah:

i) Melahirkan muslim daripada akhlaq-akhlaq masyarakatnya dan daripada lingkungannya kepada akhlaq mukmin yang sejati.ii) Melatih seorang muslim yang bertanggungjawab dengan kata-katanya; setiap kata-katanya adalah bernilai dan membina.iii) Mentarbiyyah Muslim itu tadi dengan didikan yang sesuai dengan matlamatnya, serta memberi pengetahuan dengan matlamat yan hendak dicapainya.iv) Membina seorang Muslim sehingga ia mampu mengambil (membuat) keputusan yang bijaksana.v) Melatihnya supaya tunduk kepada keputusan syura walaupun bercanggah dengan pendapatnya sendiri.vi) Melatihnya supaya boleh berbincang dengan bijak serta mengajarnya bagaimana membentangkan pendapatnya dan berhujah.

vii) Mengajarnya bagaimana mengambil pengajaran daripada kritikan-kritikan dan menukarkannya menjadi cadangan-cadangan yang membina.

viii) Menjelaskan kepadanya perbezaan di antara pemikiran yang membina dan pemikiran yang meruntuhkan, kerana betapa mudahnya meruntuhkan dan sukarnya membina.

ix) Mengajarnya bagimana untuk memajukan yang sedia ada, mewujudkan dan tidak ada, serta memperingatkannya bahawa mudahnya meruntuhkan yang sedia ada dan sukarnya membina yang tiada.

x) Melatihnya bagaimana mengambil pengajaran daripada sesuatu yang berada di sekitarnya untuk sampai kepada matlamat pembinaannya.

7.0 Langkah Bergerak

Mengikut panduan Al-Muddatsir

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَانِ الرَّحِيمِ

يَاأَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ. قُمْ فَأَنذِرْ. وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ. وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ. وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ. وَلَا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ. وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ


(al-Muddatsir: 1 – 7)

Ayat 1:

Wahai orang yang berselimut!

Marilah kita keluar daripada kepompong hanya asyik melihat sahaja apa yang berlaku di sekeliling kita. Kepompong yang hanya memikirkan hidup kita, anak-pinak, dan makan-minum (serta rumah-kediaman) sahaja. Kepompong yang terleka dengan kesibukan dunia. Ayuh pecahkanlah kepompong itu! Mulakan langkah bergerakmu!

Ayat 2:

Bangunlah serta berilah peringatan dan amaran (kepada umat manusia) .

Marilah kita mula menyebar risalah Allah. Memberi kebahagiaan sebenar kepada umat manusia. Menyampaikan panduan ilahi untuk hidup dengan lebih mulia dan berjaya (al-falah). Memberi peringatan kepada yang terleka.

Ayat 3:

Dan Tuhanmu, maka ucaplah dan ingatlah kebesaranNya!

Marilah kita jadikan Allah keagungan kita – tiada kehendak lain selain daripada mendapat keredhaan-Nya – tiada puja-pujaan lain (kelekaan-kelekaan duniawi) selain daripada-Nya. Marilah kita memasyarakatkan semangat tersebut.

Ayat 4 dan 5:

Dan pakaianmu, maka hendaklah engkau bersihkan. Dan segala kejahatan, maka hendaklah engkau jauhi.

Marilah kita bersihkan ‘pakaian’ dalaman dan ‘pakaian’ luar. Satu demi satu keburukan yang ada kita buang mengikut kemampuan. Satu demi satu amalan yang baik kita tambahkan. Bersihkanlah jiwa sentiasa. Buangkanlah amalan-amalan yang tidak sesuai.

Ayat 6:

Dan janganlah engkau memberi (sesuatu, dengan tujuan hendak) mendapat lebih banyak daripadanya.

Marilah kita mengikhlaskan diri.

Ayat 7:

Dan bagi (menjalankan perintah) Tuhanmu, maka hendaklah engkau bersabar (terhadap tentangan musuh)!

Kita akan menempuh banyak ketidakselesaan dalam membawa risalah ini. Biarlah kita mampu memandang semua mad’u kita sebagai orang yang perlu dibimbing dan disayangi. Sebarang kejahilan dan penentangan, marilah kita bersabar. Sesungguhnya Allah akan mengganjari mengikut nilai amalan seseorang (pembawa risalah atau penentang).

8.0 Kewajiban Mengurus Dakwah Secara Haraki.

Matlamat yang besar memerlukan kewujudan sebuah jamaah yang tersusun rapi Tidak boleh disempurnakan amalan atau kerja-kerja berdasarkan persendirian tanpa ada jamaah yang menyelengarakannya. Jamaah ini mesti menjadikan Al-Quran dan Islam sebagai landasan utama dalam membentuk matlamat, wasilah, strategi, pendekatan, ilmu, tarbiyyah, tanzim, sistem, peraturan dan lain-lain. Dato’ Dr. Siddiq Fadhil menghuraikan perencanaan program, seperti sedutan dari buku Minda Melayu baru dibawah :

”Perencanaan atau planning adalah suatu proses menentukan matlamat, mengariskan kaedah-kaedah dan tindakan untuk mencapai matlamat yang telah ditentukan. Perencanaan juga disebut sebagai jambatan antara masa kini dengan masa depan , yang membawa erti persiapan masa kini untuk menghadapi apa yang akan terjadi di masa depan.”

Dalam zaman yang penuh persaingan seperti sekarang ini, kecemerlangan dan keungulan hanya akan dapat dicapai dengan penyuburan budaya kerja berencana dan pemikiran strategik. Sehubungan dengan itu budaya ad-hoc seharusnya dihindari kerana ia bukan budaya yang terpancar dari ajaran Islam.

9.0 Akhir kalam.

Khazanah yang paling berharga bukan emas dan perak, bukan hasil mahsul, tetapi kekayaaan yang paling berharga adalah manusia. Sebaik-baik anugerah daripada manusia ialah zaman mudanya. Zaman muda adalah zaman kekuatan di antara dua kelemahan, kelemahan zaman kanak-kanak dan kelemahan zaman tua

Tetapi generasi muda yang berharga adalah apabila generasi muda yang memenuhkan masa dengan mengambil nilai-nilai Islam dengan mengamalkan akhlaq Islam, mempunyai wawasan yang baik, mempunyai matlamat yang jelas, serta mempunyai cita-cita besar di mana mereka hidup dan mati untuk memperjuangkan kalimah Allah dan kehidupan yang penuh bersyariat.

Monday, March 9, 2009

Panduan Perlaksanaan Usrah

Panduan Perlaksanaan Usrah
1. Muqaddimah:

Usrah bertujuan membina ukhuwwah Islamiyah yang kental di kalangan anggota gerakan berasaskan iman dan ilmu yang mendorong peningkatan amal dan jihad. Seperti yang diakui bahawa kemantapan gerakan bergantung besar keberkesanan usrah-usrah yang bertebaran di seluruh negara. Keberkesanan usrah-usrah pula bergantung kepada disiplin yang tinggi di kalangan anggota-anggotanya. Sebagai langkah untuk memperkukuhkan usrah, maka Biro Tarbiyah cuba menyusun kembali aspek yang berkaitan dengan disiplin usrah supaya dapat digunakan sebagai panduan bagi mengemaskan perlaksanaan program yang penting ini.

Sebahagian besar dari kandungan panduan ini adalah dikutip dari tulisan-tulisan Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin yang bertajuk Sekitar Usrah I dan Sekitar Usrah II (1979), Panduan Usrah (1981) yang disediakan oleh Allahyarham Ustaz Abdul Wahab Zakaria dan Risalah Tarbiyah (1994) yang disediakan oleh Ustaz Abdul Halim El-Muhammady. Gambaran yang lebih luas dan mendalam boleh diperolehi dengan merujuk kepada tulisan-tulisan ini.

2.Agenda Usrah:

Agenda I Solat Maghrib dan Bacaan Ma’thurat Sughra 30 minit
Agenda II Jamuan 30 minit
Agenda III Solat Isya’ 20 minit
Agenda IV Tafsir Quran/Huraian Hadith/Perbincangan
Berasaskan Buku dan Hafazan 60 minit
Agenda V Perbincangan Topik-Topik Khas, Hal Ehwal
Semasa dan lain-lain 40 minit

Jumlah Masa 180 minit


3.Solat Maghrib dan Bacaan Ma’thurat:

Setiap anggota mestilah merancang untuk sampai ke tempat usrah lebih awal supaya Solat Maghrib dapat ditunaikan secara berjamaah.Sekurang-kurangnya Ma’thurat Sughra, mestilah dijadikan bacaan wajib yang dibaca secara berjamaah iaitu sebaik sahaja selesai Solat Maghrib.


4. Keanggotaan Usrah:

Anggota usrah seharusnya di antara 7 hingga 15 orang, kecuali usrah umum atau usrah gabungan. Sekiranya bilangan melebihi had ini, suatu kumpulan usrah baru mestilah diwujudkan secara berasingan.

5. Jamuan:

Jamuan hanyalah sebagai pengalas perut kerana itu ia haruslah disediakan secara sederhana dan ringkas.

6. Tafsir Quran/Huraian Hadith/Perbincangan Berasaskan Buku dan Hafazan:

Tafsir Al Quran dan Huraian Hadith boleh diselangseli pada setiap minggu. Seorang Petugas Utama bagi tujuan Tafsir Quran dan Huraian Hadis mestilah ditentukan. Petugas Utama ini mestilah membuat persiapan awal dengan rujukan-rujukan dan catatan ringkas bagi tujuan pembentangan.

Tugas juga dipertanggungjawabkan kepada anggota-anggota lain untuk membuat persiapan untuk tajuk yang sama tetapi berdasarkan kitab-kitab dan rujukan yang berlainan.

Sebelum perbincangan diadakan adalah di sarankan agar ayat-ayat yang telah dipilih dibaca secara jahar oleh salah seorang dari anggota usrah dan diikuti bacaannya oleh anggota-anggota yang lain.

Adalah disarankan agar perbincangan-perbincangan tersebut dapat ditulis kembali secara dan diedar kepada anggota usrah pada minggu berikutnya. Tugas ini boleh dipergilirkan antara anggota usrah.

Ayat-ayat Hafazan mestilah dihafaz atas inisiatif sendiri. Sekiranya ada anggota usrah yang ingin tasmi’ bagi menguji bacaannya, maka bolehlah digunakan sedikit masa untuk tujuan tersebut. Peruntukan masa untuk tujuan ini tidak harus melebihi sepuluh minit.

Dalam usaha membina budaya ilmu di kalangan anggota-anggota, adalah disarankan supaya setiap anggota diwajibkan membaca sekurang-kurangnya satu buku sebulan. Anggota usrah mestilah melaporkan tajuk buku yang telah dibacanya setiap bulan kepada Naqib. Naqib boleh memilih satu atau dua orang untuk memberi ringkasan kandungan buku yang telah dibaca.

7. Perbincangan Topik-Topik Khas, Hal Ehwal Semasa dan lain-lain:

Ruang waktu ini digunakan untuk membincangkan topik-topik khas mengenai Fiqh Harakah, persoalan-persoalan yang berkaitan dengan Fiqh, Aqidah dan Akhlaq serta hal-hal yang berkaitan dengan Organisasi. Tugas membuat persediaan bagi tajuk-tajuk yang dipilih boleh dipergilir di antara ahli-ahli usrah.

Ruang masa ini digunakan untuk membincang perkembangan sosio-ekonomi dan politik yang berlaku di dalam dan di luar negara terutama yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam.

Kesempatan perlu juga diberi bagi membahaskan isu-isu yang dibangkitkan menerusi kertas kerja PAS,Harakah,majalah dan buku-buku Pimpinan PAS.

Ruang masa ini juga perlu digunakan untuk menentukan projek-projek kecil yang boleh dijayakan oleh unit usrah sebagai susulan berbentuk amal bagi kepentingan ahli usrah atau masyarakat sekeliling. Semasa bulan Ramadhan, agenda usrah boleh disesuaikan untuk membolehkan Solat Tarawikh dikerjakan secara berjamaah atau untuk membolehkan sesi Tadarrus Quran diadakan.


8. Tempat dan Tempoh Masa Usrah

Usrah sepatutnya berakhir pada jam 10.30 malam dan tidak sepatutnya melebihi jam 11.00 malam. Tempat usrah adalah rumah ahli-ahli usrah sendiri dan hendaklah dipergilirkan dengan jadual yang disediakan terlebih dahulu. Penggunaan markas atau sekretariat sebagai tempat usrah mestilah dielakkan.

9. Tabung Usrah

Tabung Usrah atau disebut juga sunduq al-usrah perlu diwujudkan khususnya untuk usrah-usrah di semua peringkat. Jumlah sumbangan untuk tabung ini adalah bergantung kepada kesanggupan masing-masing. Sumbangan dengan kadar yang disanggupi ini hendaklah dibuat secara berterusan pada setiap usrah tanpa mungkir. Jumlah bayaran yang tertangguh hendaklah dianggap sebagai hutang yang perlu dibayar. Kewujudan tabung ini diharap dapat membantu membina budaya infaq di kalangan ahli-ahli usrah di samping kutipannya dapat digunakan untuk
membantu meringankan bebanan ahli-ahli yang menghadapi masalah kewangan.

10. Adab dan Akhlaq Usrah

o Mengikhlaskan hati dengan meyakini bahawa kehadiran ke usrah sebagai suatu kewajipan gerakan yang penting, sebagai suatu amalan yang disukai Allah swt dan sebagai suatu ibadah yang bakal diganjari pahala olehNya.

o Mengenepikan program-program lain bagi membolehkan diri hadir ke usrah seperti yang dijadualkan setiap minggu.

o Anggota-anggota yang lain juga seharusnya turut membuat persiapan-persiapan awal sama ada dari segi pembacaan dan rujukan sebelum menghadiri usrah. Keperluan-keperluan lain seperti buku catatan, kitab-kitab Al Quran dan Hadis serta lain-lain turut dibawa bersama.

o Menepati masa dalam semua urusan termasuk kehadiran, perlaksanaan setiap agenda usrah dan juga masa ketika menamatkan usrah. Berusaha untuk berada dalam jamaah usrah selama mana yang boleh. Elak dari pulang sebelum usrah tamat.

o Menjadikan kesempatan berusrah sebagai tempat menterjemahkan akhlaq dan budi pekerti mulia seperti kasih sayang dan ukhuwwah, kerjasama dan ‘amal jama’iy, sikap terbuka, bertolak ansur dan saling memaaf satu sama lain.

o Menghormati adab-adab majlis seperti memberi salam semasa tiba dan pulang, memberi kelapangan tempat duduk kepada yang lain, tidak meninggikan suara semasa perbincangan dan menghormati naqib yang mengendalikan majlis. Adab-adab yang lain seperti adab ziarah dan juga adab makan mestilah juga diamalkan.

o Adab dan akhlaq yang lain dapat dirujuk dalam Risalah Tarbiyah (1994).


11. Program Susulan Berkala

Anggota usrah mestilah juga merancang untuk mengadakan program-program lain sebagai lanjutan dari usrah yang biasa bagi tujuan pengukuhan nilai-nilai yang telah ditanam. Program-program berikut perlu dilaksanakan oleh usrah-usrah:

o Qiyamullail : Sekurang-kurangnya program ini diadakan sebulan sekali. Boleh dilaksanakan dengan melibatkan anggota usrah yang ada atau bersama gabungan usrah-usrah yang lain.

o Usrah Gabungan : Usrah gabungan perlu diadakan dua atau tiga bulan sekali dengan penglibatan kumpulan-kumpulan usrah yang lain. Pengisian program ini bergantung kepada kesesuaian mengikut pertimbangan pimpinan dan naqib-naqib usrah yang terlibat.


o Hari Keluarga Usrah : Rehlah yang melibatkan keluarga anggota usrah perlu diadakan supaya rasa persaudaraan dan ukhuwwah dapat dibina dalam lingkungan yang lebih luas di samping memberi kesempatan anggota keluarga memahami dan mengongsi sebahagian dari idealisme perjuangan. Program ini perlu diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam masa enam bulan.

o Program Angkat : Untuk menentukan kesan usrah melebar kepada masyarakat, setiap kumpulan usrah perlu memilih suatu projek kecil yang secara langsung memberi faedah kepada masyarakat. Kumpulan usrah boleh mengenalpasti beberapa orang anak yatim yang masih bersekolah untuk dibantu secara berterusan, atau membina dan menyelia-selenggara satu pondok menunggu bas (bus stop) atau lain-lain projek kecil yang difikirkan sesuai bergantung kepada kreativiti usrah masing-masing.

12. Jadual Tahunan

Satu jadual tahunan perlu disediakan sebagai panduan umum. Jadual ini perlu menyatakan tarikh usrah, giliran rumah, tajuk perbincangan dan lain-lain butir yang berkaitan dengan usrah. Walaupun beberapa perubahan akan berlaku kerana tuntutan keadaan, namun usaha mestilah dibuat untuk seboleh-bolehnya mengikuti apa yang telah dijadualkan.

13. Penilaian, Muhasabah dan Laporan.

Penilaian serta muhasabah perlaksanaan usrah perlu dibuat setiap bulan bagi menentukan perjalanan usrah mematuhi format yang telah ditentukan di samping melihat keberkesanan usrah serta langkah-langkah wajar yang perlu diambil untuk memperbaikinya.

Laporan ringkas berdasarkan format yang disediakan hendaklah disampaikan kepada Naqib. Laporan ini hendaklah disiapkan setiap tiga bulan.

Pengurusan Tarbiah Yang Sistematik

Semua orang akur bahawa tarbiah penting dalam menjana kekuatan parti dan menyediakan tenaga kerja kepada parti untuk akan datang. Di antara rahsia kekuatan Pas sehingga mampu berada dipersada perjuangan di negara ini kerana bertunjangkan kekuatan tarbiah yang menjadi agenda penting kepada parti.

Peranan tarbiah tidak ada noktah terakhir, malahan ia terus berjalan seiring dengan proses kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Ia juga tidak terhenti kepada ahli bawah sahaja malahan juga kepada mereka yang bergelar pemimpin. Kita akan mengalami kepupusan ahli dan kepimpinan pada masa akan datang jika pengurusan tarbiah tidak diatur dengan baik. Tenaga kerja untuk menggerakkan pilihanraya akan terbantut apabila sistem tarbiah tidak berjalan dengan teratur.

Program anjuran kerajaan juga akan tergendala jika kita mengabaikan perkara ini, kerana jentera kerajaan agak minima untuk membantu. Kita juga tidak boleh mengharapkan jentera kerajaan, kerana bidang tugas dan agenda yang berbeza. Walaupun kita menang program parti yang semakin bertambah kerana permintaan yang banyak. Walaupun ada peruntukan untuk membuat program melalui wakil rakyat, tetapi jika kita tidak ada tenaga maka program tidak boleh laksanakan. Perlu wujudkan Jabatan Tarbiah dengan pegawai dan perkeranian sepenuh masa dan bergaji. Ia bertugas untuk memantau perjalanan tarbiah di kawasan-kawasan. Menyediakan bank maklumat usrah dan tenaga tarbiah dan mengetahui secara ditil kebolehan yang ada pada seorang ahli. Terutama sewaktu kita menang kita memerlukan orang yang fikrah tulin Pas yang mengemudikan parti dan membawa negeri dengan manhaj parti. Pengurusan Jabatan Tarbiah samalah seperti Jabatan pilihanraya negeri yang mesti bergerak dengan sistem kepejabatan.

Di antara perkara yang perlu diuruskan dengan baik untuk meningkatkan program tarbiah

A.Penyusunan usrah

Kegiatan usrah adalah satu kewajipan, kerana ia adalah merupakan tonggak kepada program tarbiah. Jika usrah berjalan dengan baik maka banyak perkara dalam jamaah dapat diselesaikan dengan baik. Tidak timbul lagi soal cawangan mati, wang tidak ada, ahli tidak bertambah, perkaderan tidak wujud.

Jenis usrah

1.
-Usrah Pas Pusat
2.
-Usrah Dewan Ulama’,Pemuda, Muslimat
3.
-Usrah Badan Perhubungan Pas Negeri
4.
-Usrah Kawasan
5.
-Usrah Cawangan.

*Penting sekali ialah Usrah Nuqaba’ (iaitu mereka yang terpilih untuk membawa usrah. Usrah bentuk ini baru dapat kita buat saringan dan peningkatan fikrah kalangan pesertanya). Kerana usrah yang di atas tadi hanya sebagai satu kegiatan untuk membentuk fikrah secara umum dan tidak bertahap dan ia hanya mengikut penjawat dalam parti walaupun dari segi fikrahnya masih minima tentang pemahaman Islam dan gerakan. Sedangkan usrah nuqaba’ ia bertahap dan mempunyai bebanan tugas kepada setiap ahli seperti hafalan, taklif menyediakan bahan. Perkara ini tidak dapat kita laksanakan dalam konteks usrah umum. Sekurangnya mesti ada dalam setiap kawasan 10 orang ahli usrah nuqaba’.

Usrah remaja untuk anak ahli Pas

Kita perlu meninggalkan pelapis parti untuk akan datang. Tenaga pelapis tidak wujud jika kita tidak menyediakan tapak daripada awal lagi. Usrah wajib diadakan untuk menyelamatkan parti dan zuriat kita meneruskan perjuangan ibu bapanya. Dalam suasana mendidik anak yang begitu mencabar, anak merupakan ujian dan fitnah kepada ibu bapa dan jamaah jika kita tidak bentuk dengan betul. Anak-anak kita lebih selesa dengan kawannya yang sebaya. Maka usrah remaja perlu diadakan, InsyaAllah anak kita terselamat daripada kancah kerosakan.

Caranya

1.
-Tubuhkan unit usrah remaja samaada unit amal atau nisa’ yang berumur 13-18 tahun di setiap cawangan Pas.
2.
-Umur seperti begini agak mudah untuk dibentuk
3.
-Naqib terdiri daripada remaja juga yang umur lebih sidikit daripada ahli usrah. Kerana naqib seperti ini lebih memahami jiwa keremajaan.
4.
-Buku yang dikeluarkan oleh Lajnah Tarbiah Dewan Muslimat Pas Pusat “Tajuk-Tajuk Asasi Untuk Remaja Soleh” boleh dijadiklan rujukan di samping buku yang dikeluarkan oleh Lajnah Tarbiah Dan Perkaderan Pas Pusat.
5.
-Buat di rumah secara gilir dan sediakan sedikit minuman dan makanan ringan secara mingguan.

*NOTA PENTING: Pesan kepada anak-anak yang berjaya melanjutkan pelajaran kena mengikuti usrah Pas. Pesan juga kepada anak yang sudah bekerja kena cari usrah Pas jangan pula menakutkan anak supaya jauh daripada Pas. Kita tidak mahu berlakunya kecelaruan fikrah di kalangan anak-anak kita. Dalam Suasana yang pihak musuh yang cuba merosakkan anak-anak kita dengan program PLKN, BTN (Biro tatanegara), minggu suaikenal di pusat pengajian tinggi. Program ini semuanya menjurus supaya anak kita jauh daripada perjuangan bapanya. Kecuaian ibu bapa Pas tidak berperanan untuk menjuruskan anak kepada perjuangan berakhir dengan mala petaka meninggalkan anak sebagai penentang kepada pejuangan Pas. Cukupkah kita hanya berbangga dengan kehebatan Pas di zaman kita sedangkan kita tidak meninggalkan benih pejuang untuk masa akan datang. Dalam apa keadaan sekalipun anak tidak boleh disalahkan, kerana yang boleh disalahkan ialah ibu bapanya yang tidak membawa balik pejuangan Pas ke dalam rumah. Contoh yang ditunjukkan oleh baginda nabi Muhammad SAW melatih Saidina Ali, Asma’ Abu Bakar, Abdullah Abu Bakar walaupun mereka masih muda telah diberi peranan untuk menjayakan misi hijrah baginda ke Madinah

Usrah Di Sekolah

Samaada sekolah Pas, sekolah kerajaan, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Swasta perlu diadakan program ini. Mereka adalah bakal pemimpin masa akan datang samaada sebagai ahli politik, bekerja di sektor swasta atau badan berkanun. Pelajar yang berada tingkatan 5 (17 tahun) sekarang ini bakal menjadi pengundi PRU 13. Sebab itu Umno menggunakan kaedah PLKN, Biro Tata Negara dan minggu suaikenal di universiti untuk mencapai cita-cita mereka.

Caranya

1.
-Guru-guru Pas di sekolah kena berperanan besar dan berjiwa besar dengan mengorbankan sedikit wang dan masa untuk masa depan perjuangan Islam
2.
-Pilih pelajar-pelajar yang berbakat dan cerdik dahulu disamping pelajar-pelajar lain.
3.
-Program boleh dibuat selepas kelas dalam masa 45 minit sudah cukup.
4.
-Sekali sekala ajak pelajar datang kerumah untuk jamuan kepada mereka.
5.
-Kalau ada masa boleh bersukan dengan mereka
6.
-Muqarrar usrah boleh pakai topik yang sama seperti usrah remaja.
7.
-Sekali sekala (satu kali sepenggal) atur program qiamullail, khemah ibadah dan wujud suasana beragama dan kecintaan kepada agama.

Panduan Usrah Sekolah

Pengenalan

Sekali lagi sesi persekolahan bermula. Sekolah-sekolah yang lazimnya subur sebagai ladang ternak tuai generasi baru pendukung nusa bangsa hidup dengan kehadiran peladang-peladang samada, Peladang Tanpa Izin atau Peladang Berdaftar. Lubuk-lubuk emas menjadi tumpuan. Satu atau dua terlepas ke tangan peladang yang menabur benih tumbuhan lain. Kadang-kadang menjadi kemuncup dan kadang-kadang menjadi beringin tempat tumpang memanjat untuk mendapatkan nur Ilahi.

Maka berduyun-duyun juga soalan datang menanyakan itu dan ini, ada yang relevan dan ada yang memelikkan. Apapun, penulis menghasilkan kertas kerja ringkas ini buat panduan mereka yang baru berhasrat menabur benih di bumi baru, atau menabur benih tetapi hasilnya lemah dan layu;



Cara Masuk


Adapun cara masuk ke sekolah itu ada dua jalan, yang pertama dipanggil jalan depan, dan yang kedua jalan belakang,



1. Jalan Depan

Jalan depan ini didapati dengan cara berurusan dengan pihak sekolah secara formal, samada dengan kertas kerja, menggunakan platform rasmi atau stand ‘follow-up’ kepada program-program yang pernah dianjurkan di sekolah tersebut seperti Kem Remaja Islam dan sebagainya.


2. Jalan Belakang

Jalan belakang lebih mudah dilaksanakan tetapi lebih berisiko, dan tidak terlalu berprotokol. Ia didapati dengan cara berhubung dengan ustaz atau ustazah yang dikenali dan seladang dengan anda di mana-mana sekolah, dan pertemuan dengan anak buah diatur oleh orang tengah tersebut. Satu lagi cara ialah dengan melepak di surau-surau sekolah pada waktu solat, dan mengatur pertemuan dengan anak buah yang berhamburan di segenap ruang surau. Adapun cara ini lebih cenderung digunakan oleh peladang dari ladang yang tidak mempunyai personal influence atau networking yang baik. Ia juga hanya boleh digunakan di sekolah-sekolah yang agak terbuka.



Marhalah Anak Usrah


Marhalah anak usrah di sekolah terbahagi kepada lima, yang mana ia afdhal diikuti mengikut urutan, dan bergerak menaiki marhalah seterusnya mengikut kesesuaian masa dan potensi anak usrah:


1. Marhalah Makan

Mulakan mendekati anak buah anda dengan membawa sedikit buah tangan berupa makanan seperti sanggar, keropok lekor dan makanan ringan. Ia khususnya berkesan dalam mendekati anak buah dari sekolah berasrama. Lebih daripada itu, ia menepati hadis Nabi yang menggalakkan bertukar-tukar hadiah sebagai cara mengikat kasih-sayang.


2. Marhalah Bahan

Apabila anak buah mula seronok dengan kehadiran anda, mulakan memberi mereka bahan-bahan yang menarik. Bahan-bahan boleh jadi risalah yang dihasilkan oleh kampus atau bahan-bahan lain yang dihasilkan sendiri. Biarkan bahan simple dan menarik, tidak perlu panjang dan sentuh isu-isu yang melibatkan mereka seperti isu cinta, pengurusan masa dan sebagainya.


3. Marhalah Kawan

Lama-kelamaan anak buah akan mula mempercayai naqib dan berkongsi kehidupan dan masalahnya dengan naqib. Ketika ini, naqib dan anak buah terikat sebagai kawan. Di marhalah ini, banyakkan bergerak ke arah dakwah fardhiyyah ke atas anak buah yang tampak berpotensi untuk dikembangkan.


4. Marhalah Kefahaman

Di peringkat ini, anak buah akan menghadiri usrah atas dasar kefahaman akan perlunya mereka membekalkan diri dengan kefahaman asas Islam, dan kehendak kepada peningkatan diri dan amal.


5. Marhalah Perkaderan

Marhalah ini adalah tahap tertinggi, di mana anak buah melepasi semua marhalah dan masak untuk terjun ke lapangan dakwah yang sebenar, membentuk kumpulan dakwah bersama naqib untuk mengembangkan Islam ke lain-lain ladang.


Kaedah Pembawaan


Kaedah perjalanan usrah di sekolah sangat fleksibel, tetapi memerlukan kreativiti dan persediaan yang baik daripada naqib. Pelajar sekolah lazimnya meminati penerangan dalam bentuk aktiviti atau bergerak. Misalnya, jika anda menggunakan buku Apa Ertinya Saya Menganut Islam, gunakan modul Kambing, Tali dan Pokok untuk menerangkan bab aqidah, dengan meminta anak buah menyediakan kertas dan pen, melukis gambar berkenaan sebelum meminta penerangan. Atau untuk menerangkan bab kewajipan berkeluarga mengikut Islam dan menjaga keluarga daripada azab, lakukan aktiviti di luar, minta anak buah melukis gambar orang-orang yang paling disayangi, kemudian bakar lukisan mereka satu demi satu. Ini tentu meninggalkan impak yang mendalam ke atas mereka dan penerangan tentang perlunya menghiasi keluarga dengan Islam akan lebih mudah dihadam. Paling penting, jadikan kupasan anda tentang apa-apa tajuk berbentuk semasa dan santai, dan jangan sesekali mengadakan usrah dalam bentuk talaqqi kitab.


Peringatan Penting


1. Ikatan yang paling ampuh mengikat anak buah dengan naqib ialah kasih-sayang. Sentiasa dekati mereka dengan sentuhan, ikat mereka dengan senyum dan salam, berhubung dengan mereka pada waktu cuti. Seperti yang biasa kita dengar, The golden rule is, “People do not care how much you know until they know how much you care,”. Kita menuju untuk mengikat mereka dengan aqidah, tetapi ia tentu mengambil masa.

2. Lazimi menggunakan pendapat yang berat untuk menjawab persoalan yang dikemukakan oleh anak usrah. Misalnya, gunakan pendapat merokok adalah haram apabila ditanya hukum merokok, dan pakai pendapat bercinta adalah haram. Dekati anak buah secara individu untuk memberikan penjelasan terhadap pendapat yang lebih ringan.



Penutup


Panduan yang dikemukakan adalah berdasarkan waqi’ di Sabah. Walaubagaimanapun, ia tentunya tidak boleh dipakai seratus peratus tanpa diubah suai. Kertas kerja yang paling baik untuk para nuqaba’ ialah pengalaman, jadi jangan teragak-agak untuk mula mencuba. Tunjukkan teladan yang baik di mana sahaja, samada di depan anak buah atau tidak, ia pasti akan memberi kesan pada penyampaian. Hiasi peribadi dengan akhlaq mulia, dan perteguhkan kata-kata dan nasihat yang dilontarkan dengan qiamullail. Bagi yang berminat untuk mencuba bakat dalam sektor perladangan ini, bolehlah berhubung dengan penulis.


Selamat Berusrah!

Pemikiran Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani

Nama Sayyid Muhammad ibn 'Alawi Al Maliki Al Hasani memang jarang didengari oleh umat Islam di Malaysia. Nama tokoh seperti Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, Sheikh Ramadan Al-Buti, Sheikh Taha Jabir Al-Wani, Prof Ismail Faruqi, Hassan Al-Banna serta beberapa orang tokoh popular lagi. Karya-karya mereka sudah tersebar luas di negara ini, malah turut dijadiksn silibus pengajian di sekolah atau universiti. Pemikiran umat Islam di sini turut dipengaruhi oleh idea-idea serta manhaj pemikiran yang digagaskan oleh beliau.

Sayyid Muhammad merupakan ulama besar yang lahir di Mekah. Kelahiran beliau ibarat sebutir permata yang menyinari muka bumi. Berasal daripada keturunan yang mulia, beliau pernah mengatakan dengan penuh syukur dan nikmat,"Daripada ayahandaku, kemudian nendaku, dan seterusnya sampai kepada Rasul Sallahu'alaihi Wasalam yang terpilih, adalah penghulu dan orang alim". Beliau mewarisi sifat seorang ulama daripada ayahanda beliau sendiri, Sayyid 'Alawi yang juga merupakan ulama terkenal di Mekah.


Kenapa umat Islam di Malaysia perlu mengenali dengan lebih lanjut akan tokoh ini? Sebenarnya tokoh besar ini mempunyai banyak mutiara berharga yang boleh dikongsi bersama dengan kita. Umat Islam di sini seharusnya bersyukur kerana sentiasa diberi nikmat dan kesempatan untuk terus mengenali tokoh- tokoh yang banyak berjasa kepada umat. Tidak rugi rasanya jika kita berkenalan dengan ulama ulung ini yang telah meninggalkan ramai anak muridnya di Malaysia, termasuk anak muridnya yang paling dikasihi, sehingga menerima anugerah gelaran keluarga 'Al Maliki' iaitu, Muhammad Fuad Kamaluddin. Beliau adalah antara anak murid yang paling setia dan disayangi oleh beliau.

Berasal dari Rembau, baru berumur 34 tahun. Pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan pada tahun 2006. Beliau merupakan salah seorang daripada Ahli Majlis Fatwa Negeri Sembilan di samping menguruskan sebuah madrasah di Rembau. Telah menghasilkan lebih seratus buku mengenai agama, termasuk terjemahan kitab-kitab yang ditulis oleh gurunya. Dalam kesibukan umat Islam di Malaysia mengangkat artis, ahli sukan atau sesiapa sahaja sebagai idola, sepatutnya beliau menjadi idola terutama sekali di kalangan generasi muda.

Dr Siddiq Fadzil pernah mengatakan bahawa kita kebanjiran idola tetapi kemarau tauladan. Jika bertanya kepada anak muda, mereka lebih mengenali artis dan ahli sukan. Walaupun ada di kalangan mereka yang baik serta boleh dijadikan sebagai tauladan, namun begitu hakikatnya tetapi ramai yang tidak mempunyai keterampilan yang terpuji untuk dijadikan sebagai suri tauladan. Maka tidak boleh untuk kita menyalahkan generasi muda yang bermasalah kerana terpengaruh dengan idola-idol mereka.

Sayyid Muhammad 'Alawi telah mewariskan manhaj yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam di sini. Yang pertama ialah manhaj bersanad yang sekian lama menjadi amalan di kalangan penuntut ilmu. Budaya ini (manhaj bersanad) bertujuan untuk memastikan ada salasilah atau ikatan langsung ilmu atau amalan yang kita buat sehingga sampai ke Baginda Sallahu'alaihi Wasalam. Budaya berijazah ini juga boleh menghadirkan keberkatan dalam menuntut ilmu.

Sheikh Fuad dalam sebuah biografi beliau yang berjudul, Sheikh Fuad yang aku kenali, mengatakan, walaupun beliau tidak mengambil masa yang lama ketika menghabiskan menuntut di Tanah Arab, tetapi beliau merasai keberkatan ilmu yang diperolehi melalui pendekatan sanad dan ijazah yang dilaksanakan oleh guru beliau. Yang kedua ialah manhaj dakwah dan pemikiran gurunya yang bersifat sederhana ataupun Wasatiyyah, yang selari dengan ajaran Islam. Apabila kefahaman akidah dan ibadat diperkuatkan dengan amalan kerohanian, mesej dakwah yang dibawa mampu menyentuh hati umat. Beliau telah menjadikan amalan zikir, hizib serta tazkiah nafs sebagai amalan wajib untuk dirinya. Sayyid Muhammad dalam aspek pemikiran fiqh sebagai contoh, Walaupun bermazhab Maliki, Sayyid Muhammad juga arif serta merupakan pakar dalam mazhab Syafie, Hanbali, serta Hanafi.

Bahkan beliau juga pernah mengatakan bahawa "Saya adalah 'anak' kepada mazhab yang empat". Oleh itu, tidak timbul isu menganut fahaman yang tidak bermazhab atau membuta tuli ketika mengeluarkan hukum. Benarlah seperti apa yang terkandung dalam buku Sheikh Yusuf Qaradawi, Kaifa Nata'amal Bil Khilaf Mazahib, (Bagaimana Beramal dengan Kepelbagaian Mazhab), tidak akan timbul sebarang konflik atau pertengkaran jika seseorang itu memahami kepelbagaian mazhab. Yang ketiganya ialah kegigihan beliau dalam menuntut ilmu. Sayyid Muhammad telah menyempurnakan menyempurnakan ijazah di peringkat Kedoktoran dalam bidang hadith dari Universiti Al- Azhar denga keputusan Mumtaz ketika berusia 25 tahun. Tesis yang ditulis oleh beliau telah mendapat pujian dan sanjungan besar dari ulama-ulama besar Azhar, seperti Imam Muhammad Al Sayis, Sheikh Muhammad Abu Zahu dan lain- lain. Dalam pada itu, beliau juga dikhabarkan telah menghafaz Al-Quran ketika berusia tujuh tahun dan menghafaz kitab Al Muwatta' ketika berusia 15 tahun.

Beliau mendapat jolokan 'Muwatta’ berjalan” kerana kepakarannya yang mendalam dalam memahami kitab hadith yang unggul ini. Dalam konteks hari ini, adalah mustahil untuk menemui ulama seperti beliau. Yang keempat ialah kecintaan mendalam terhadap ilmu. Sheikh Fuad menerusi bukunya, Manaqib Tiga Permata Masjidil Haram, memetik kenyataan Sayyid Muhammad "Sesungguhnya aku tidak mampu hidup tanpa mengajar. Aku tidak merasa gembira bahkan semasa bermusafir kecuali dengan menyampaikan ilmu dan menghadiri halaqah- halaqah ilmu". Beliau juga amat mencintai ilmu dan sering berusaha untuk meningkatkan keilmuannya. Beliau mengisi waktu rehatnya dengan ilmu untuk beroleh ketenangan. Bagi kita pula, rehat mungkin bererti menonton wayang, membeli-belah, menghisap rokok dan sebagainya.

Beliau bukan setakat mencintai ilmu, tetapi beliau juga memuliakan ilmu dalam erti kata sebenar. Bagi Sayyid Muhammad, ilmu merupakan suatu perkara yang amat mulia dan berharga dan ia tidak sepatutnya diletakkan melainkan di tempatnya serta tidak diberikan kepada orang yang tidak layak (yang mempunyai hati yang busuk ataupun tidak ikhlas). Oleh itu bukanlah suatu perkara yang mudah untuk seseorang itu diterima belajar di madrasahnya, sehinggakan, beliau mewajibkan anak muridnya supaya menunaikan solat sunat Istikharah sebelum memulakan pengajian. Beliau sering mengatakan bahawa ,"Saya tidak akan menerima seseorang itu belajar dengan saya kecuali dengan isyarat (daripada Allah)".

Sayyid Muhammad telah meninggalkan warisan berupa kitab-kitab karangan beliau yang berjumlah hampir 100 buah dalam pelbagai disiplin kepada kita. Antara kitab yang paling masyhur ialah, “Mafahim Yahibu an Tusohhah “(Kefahaman yang Wajib Dibetulkan) yang telah menerima pujian daripada 50 orang ulama Islam dari seluruh dunia Islam. Beliau sendiri menganggap buku tersebut sebagai sesuatu yang istimewa, dengan mengatakan,"Kitab karangan saya yang paling akrab dengan saya ialah “Mafahim Yahibu an Tusohhah". Buku ini sudah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Beliau meninggal dunia pada waktu sahur hari Jumaat, 15 Ramadan 1425 bersamaan 29 Oktober 2004 ketika berusia 60 tahun. Ketika dibawa jenazah beliau, ratusan ribu manusia mengiringi jenazahnya ke kubur, dengan tangisan, takbir dan tahlil. Sheikh Sayyid Thantawi, Sheikh Al-Azhar dengan sedihnya mengatakan, "Kewafatan Sheikh Maliki bukan sahaja merupakan kehilangan bagi Kerajaan Arab Saudi, tetapi juga merupakan kehilangan untuk seluruh alam, umat ini dan negara- negara Islam".