Friday, June 19, 2009

MOGA DIRI DIBERI KEKUATAN DAN AZAM YANG BERTERUSAN



Sayu hati aku bila melihat kesungguhan para pimpinan, aktivis dan penyokong PAS yang dilakarkan pada kanvas realiti hari ini. Muktamar yang berlangsung menggamit hati kecil ini untuk segera terjun bagi menjadikan tulang dan daging ini sebagai cebisan harta waqaf buat Islam dan perjuangan Parti Islam SeMalaysia. Sayu hati bila melihat kelibat teman-teman sepengajian dari bumi al-Azhar bergelendangan dan bersayembara dalam muktamar kali ke 55 ini.

Aku pula terus di sini menagih simpati tuhan agar mengurniakan kepada sahaya bekalan ilmu buat mengisi sebuah kemenangan yang dicita-citakan dalam memahkotakan Islam di Malaysia.

Aduh. Hati ini membentak-bentak untuk terus pulang terus menjadi waqaf sepenuh masa buat PAS. Tapi adakah sudah cukup kantungku ini dengan ilmu yang diharap-harapkan oleh sebuah jamaah Islam PAS?

Tahun ini tahun ke lima aku di di kiblat ilmu ini. Akhir 2004, kaki bodohku menjejak mutiara al-Azhar. Jatuh. Bangun. Kecewa dengan kegagalan. Bangkit kembali. Berjaya untuk terus meneruskan siri kembara ilmu ini. Aduh. Panjangnya masa yang telah berlalu.

Kalau tahun ini lulus, tahun depan aku bakal menduduki tahun 4 di universitas tertua dan terpayah di atas muka bumi Allah ini. Al-Azhar hebat bukan kerana universitinya. BUkan kerana M.A dan PhDnya. Tapi institusi ini hebat kerana masjid tuanya. Ya Masjid al-Azhar al-Syarif yang diimarahkan oleh para ulama yang ikhlas mengajar kami ilmu Islam secara masak dan teliti berdekat-dekat lamanya tanpa sesenpun atau seQirshpun (sen dalam dialek Mesir) mereka pinta dari kami para santri miskin.

Ya Allah. Aku punya cita-cita. Ingin bertalaqqi segila-gilanya dengan para ulama di Mesir ini paling kurang selama sepuluh 6 lagi. Kalaulah boleh lebih lagi....

Aku bakal kaburi lamanya tempoh itu dengan M.A dan PhD yang ku tahu bukanlah tanda sebenar bahawa aku ini punya bekalan ilmu. Ya tuhan. 6 tahun lagi umurku bakal menjadi ke angka 33. Masih adakah aku ketika itu di atas bumiMu.

Ya Tuhan. Kalaulah pada IlmuMu, segala payah dan sukarku ini adalah untuk aku sumbangkan ilmuMu pada perjuangan Islam dan pelaksanaan duturMu di Malaysia, maka hamba mohon dariMu ya Tuhan untuk HadratMu memberkati peluh keringatku dan memperkuatkan azamku untuk itu.

Ya tuhan. Aku cemburu melihat teman yang sudah lama pulang dan menyalurkan bakti buat perjuangan agamaMu. Sedang aku masih terkedek-kedek dalam permusafiran ini. Ya tuhan. Jadikan aku untuk agamaMu.

Aduh. Rindunya untuk aku bersakit-sakitan dalam perjuangan Islam di Malaysia. Aduh. Rindunya untuk berjuang dan menggabungkan diri dalam Parti Islam SeMalaysia.
Aduh...Aduh...Aduh.......

No comments:

Post a Comment